JOHOR BAHRU, Pengamal media khususnya di negeri ini tidak perlu bimbang mengenai pelaksanaan Rang Undang-undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 yang diusulkan oleh kerajaan, kata seorang anggota Exco negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pendidikan, Alam Sekitar dan Penerangan Johor Datuk Ayub Rahmat berkata mereka harus yakin jika berada di pihak yang benar kerana RUU ini sebenarnya membuka ruang dan peluang kepada semua pihak terutama media, berkaitan peranan dan perkara yang ingin disampaikan kepada masyarakat.

“Biarlah pandangan ataupun kritikan yang ingin disampaikan, tidak kira kepada kerajaan ataupun sebaliknya, haruslah berpaksikan fakta dan juga kebenaran,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis sambutan ulang tahun ke-72 Radio Televisyen Malaysia (RTM) bersempena Karnival Sehati@RTM di Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang, dekat sini, hari ini.

Katanya, akta itu juga mampu melahirkan masyarakat yang berakhlak dan bermoral seiring dengan kemajuan negara.

“Akta ini memang dinanti-nantikan dan saya harap ia dapat menyekat berita yang disifatkan palsu dan fitnah yang banyak dan sering menjadi tular di media sosial, ” katanya ketika diminta mengulas RUU Antiberita Tidak Benar 2018 yang baru sahaja dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 25 Mac lepas.

Mengulas mengenai penutupan pusat rekreasi Gunung Belumut dekat Kluang yang ditutup sejak 19 Mac lepas susulan dua kanak-kanak yang dijangkiti virus leptospirosis selepas mengunjungi kawasan itu, beliau berkata sehingga kini, pusat rekreasi itu masih ditutup kepada orang awam.

“Setakat ini, kita masih belum dapat maklumat daripada Jabatan Kesihatan berkaitan tentang cadangan untuk dibuka semula dan sebarang perubahan yang berlaku akan dimaklumkan pada masa akan datang,” tambah beliau.

Sambutan ulang tahun RTM yang ke-72 menerusi Karnival Sehati@RTM selama tiga hari bermula Khamis itu, adalah bertujuan untuk menjalin kerjasama antara badan penyiar nasional bersama kerajaan negeri dalam usaha mendekati rakyat.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *