Datuk Seri Najib Razak berkata pengamal media arus perdana perlu bertindak tangkas dalam menghadapi atau menangani berita palsu yang disebar menerusi dalam talian.

Perdana Menteri berkata, kebanyakan berita palsu berkenaan memang telah dirancang untuk menimbulkan kekeliruan atau kebencian rakyat terhadap kerajaan.

Beliau berkata, media arus perdana turut berdepan fitnah dan berita palsu terutama daripada media alternatif yang banyak mempengaruhi rakyat terutama golongan muda.

“Kerajaan tidak pernah lupa jasa pengamal media terutama wartawan wanita yang telah memainkan peranan membangunkan negara bagi meningkatkan kesedaran pemahaman lebih baik mengenai dasar-dasar dilakukan kerajaan, agenda pembangunan dan langkah dan keputusan dibuat kerajaan.

“Kadang-kadang kenyataan dibuat pemimpin termasuk kenyataan saya disalahertikan dan dikilas untuk mengelirukan rakyat. Terutama apabila saya bercakap dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di White House, baru-baru ini, saya beritahu: “I come here to strengthen the US economy’.

“Apabila saya kata demikian, maksudnya kita bukanlah sebagai penyumbang dana AS tanpa terima manfaat daripada penyertaan kita. ‘The idea is to show we are not supplicant’, bukan melutut dan minta sedekah tetapi kita hadir sebagai negara berjaya dan menjadi pelaku global signifikan,” katanya.

Beliau berucap ketika Majlis Minum Petang bersama Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA), di sini, sebentar tadi.

Turut hadir, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dan Presiden PERTAMA, Sariha Mohd Ali.

Mengulas lanjut, Najib berkata kenyataan beliau membabitkan pembelian lapan pesawat Boeing Dreamliner tercanggih turut diseleweng pembangkang.

Katanya, pembelian itu diputuskan Penerbangan Malaysia Berhad sebagai antara langkah meningkatkan kemampuannya menjadi syarikat penerbangan tersohor.

“Itu hasrat kita, sebab itu kita perlu pesawat paling canggih. Janganlah kenyataan saya itu diambil intepretasi terlalu sempit dan negatif walhal, ia bertujuan letakkan Malaysia sebagai negara berjaya,” katanya.

Sementara itu, Najib memuji penyertaan tenaga kerja wanita dalam industri di negara ini selain pencapaian luar biasa wanita tempatan di peringkat global.

Katanya, wanita tempatan semakin maju dan membangun penyertaan dalam bidang didominasi lelaki seperti sains nuklear, sains perubatan dan industri minyak dan gas.

“Kita boleh mencapai aspirasi Transformasi Nasional (TN50) supaya mempunyai minda ‘par excellence’ kerana sifat semula jadi wanita fokus dalam tugas dan disiplin tinggi untuk capai kemajuan lebih besar,” katanya.

Najib turut memberi contoh dua wanita tempatan yang menerima pengiktirafan global iaitu Prof Emeritus Datuk Dr Mazlan Othman yang pernah menjadi Pengarah di Pejabat Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hal Ehwal Angkasa Lepas (UNOOSA) di Vienna, Austria dan Ketua Sukarelawan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tan Sri Dr Jemilah Mahmood.

Dalam perkembangan berlainan, Najib turut mengumumkan sumbangan dana kewangan untuk PERTAMA yang tidak dinyatakan jumlahnya bagi membolehkan wartawan wanita tempatan menggerakkan aktiviti persatuan.

Sementara itu, Sariha berkata PERTAMA bercadang menganjurkan kursus berkaitan teknologi terkini dan cara memintas penularan berita palsu, selain mempercepatkan penghasilan berita menggunakan pelbagai platform media baru.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *