Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Penetapan Harga Barang Ditentukan Pelbagai Faktor

Penetapan Harga Barang Ditentukan Pelbagai Faktor

KUALA LUMPUR, Perbezaan penawaran harga jualan dalam Program Jualan Sentuhan Rakyat adalah dipengaruhi pelbagai faktor, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata penetapan harga barang antaranya turut ditentukan oleh faktor pengangkutan, logistik dan lokasi sama ada ia berlangsung di kawasan bandar atau luar bandar.

“Kalau kita bandingkan, harga produk di Titiwangsa, Larut atau Kemaman, memang berbeza.

“Sebelum meletakkan sesuatu harga, kita juga akan lihat purata harga yang ditawarkan di kawasan tertentu, supaya kita boleh meletakkan harga yang lebih rendah daripada pasaran tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Jualan Sentuhan Rakyat peringkat Parlimen Titiwangsa di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Hingga hari ini, sebanyak 238 Program Jualan Sentuhan Rakyat 2018 telah diadakan di seluruh negara dengan kehadiran seramai kira-kira 1 juta pengujung.

Sementara itu, Hamzah berkata penganjuran Program Jualan Sentuhan Rakyat membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa prihatin terhadap isu kenaikan harga barang.

“Istilah BN untuk ‘Barang Naik’ adalah tidak benar, malah menurut saya BN itu lebih bermaksud ‘Bina Negara’ kerana kita membina negara dengan bantuan yang diberikan kepada rakyat,” katanya.

Leave a Reply

Top