Share on Facebook

PUTRAJAYA, Publisiti dan pendedahan secara meluas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada kes-kes rasuah tahun lepas mungkin menyumbang kepada penurunan kedudukan dan skor Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan.

Beliau berkata sepanjang tahun lalu, SPRM telah menunjukkan komitmen yang kuat untuk menguatkuasakan Akta SPRM dan undang-undang anti rasuah berkaitan dengan membuat banyak penangkapan termasuk individu berprofil tinggti.

Beliau berkata walaupun perkembangan ini menggalakkan, tindakan tersebut harus disusuli dengan pendakwaan dan sabitan yang efektif.

“Bagaimanapun, ini tidak harus menghalang SPRM daripada menjalankan penguatkusaan yang agresif dan juga usaha kerajaan melakukan perubahan transformasi jangka panjang,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Khamis mengenai skor CPI Malaysia 2017.

Mengikut skor CPI 2017 yang dikeluarkan oleh Transparency International hari ini, skor Malaysia ialah 47 dengan negara berada di ranking 62 di kalangan 180 negara berbanding skor Malaysia 49 dan ranking 55 di kalangan 176 negara pada 2016.

CPI ialah tinjauan tahunan yang mengukur tahap rasuah dalam sektor awam di 180 negara di seluruh dunia.

Low, yang juga menteri bertanggungjawab bagi tadbir urus, integriti dan hak asasi manusia berkata kerajaan mengiktiraf skor CPI sebagai indikator mengenai tahap rasuah dalam sektor awam di negara ini.

“Justeru, kami akan terus berusaha untuk memperbaiki kedudukan tahunan kami, kata beliau dan menambah usaha memerangi rasuah dan meningkatkan tadbir urus memerlukan tindakan tegas di dua bidang ? penguatkuasaan dan pencegahan.

Low berkata inisiatif pencegahan memberi tumpuan untuk meningkatkan infrastruktur tadbir urus institusi dan memupuk budaya kejujuran dan akauntabiliti organisasi yang kukuh dalam sektor awam.

Low juga berkata kerajaan telah mencadangkan untuk membentangkan draf peruntukan Liabiliti Korporat dalam Akta SPRM 2009 bagi menangani aspek ‘pemberi’ rasuah.

“Perundangan yang dicadangkan ini akan menjadikan kita setanding dengan standard-standard terkemuka yang kini diamalkan di seluruh dunia,” kata beliau.

Beliau berkata Standard ISO 37001 Sistem Pengurusan Rasuah (ABMS) telah dilancarkan tahun lepas dan piawaian Malaysia yang berkaitan telah dikeluarkan sejak itu.

Beliau berkata, setakat ini, 11 entiti tempatan terdiri daripada gabungan kerajaan yang mempunyai kuasa penguatkuasaan, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan, majlis tempatan dan syarikat swasta telah diperakui.

“Kami yakin bahawa inisiatif yang sedang dilaksanakan akan menjana hasil yang positif dalam jangka panjang dan dapat dilihat dalam skor CPI Malaysia pada masa depan,” kata beliau.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *