Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Penahanan Wartawan Turki Atas Permintaan PDRM

Penahanan Wartawan Turki Atas Permintaan PDRM

SRI AMAN, Penahan wartawan dan penulis Turki, Mustafa Akyol oleh pegawai Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam dibuat atas permintaan polis.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, yang mengesahkan pihaknya hanya melaksanakan permintaan itu, enggan mendedahkan punca sebenar penahanan warga asing berkenaan.

“Ramai bertanya kepada saya termasuk rakan dari Jeddah, tetapi apa yang boleh saya katakan ialah penahanan warga Turki itu dibuat atas permintaan polis dan kes itu sudah kita serahkan kepada polis.

“Sudah menjadi amalan dalam Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), kami (Imigresen) sentiasa jalin kerjasama dengan agensi kerajaan lain termasuk polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pengisytiharan Pejabat Imigresen Bahagian Sri Aman sebagai pusat pengeluaran Pasport Antarabangsa Malaysia dan dokumen perjalanan lain, di sini hari ini.

Difahamkan, Mustafa Akyol datang ke negara ini untuk menyampaikan ceramah mengenai agama di Nottingham University Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.

Mustafar menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang cubaan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mengancam kedaulatan dan keselamatan negara.

“Kedaulatan negara bukan isu kecil. Malah, sejak 1 Julai lalu, kami menahan kira-kira 14,000 pendatang tanpa izin di seluruh negara termasuk 42 di ladang kelapa sawit di sini (Sri Aman) malam tadi,” katanya.

Sementara itu, Mustafar berkata, beliau sudah berjumpa Jabatan Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara untuk membincangkan hukuman lebih tegas kepada pendatang asing tanpa izin termasuk terhadap individu yang melindungi mereka.

Mengenai Pejabat Imigresen Sri Aman, beliau berkata, ia sebelum ini hanya menerima permohonan Pasport Antarabangsa Malaysia dari penduduk di sini yang kemudian terpaksa mengambil perjalanan tiga jam ke Kuching atau lima jam ke Sibu untuk mendapatkan dokumen itu.

“Kini, lebih 90,000 penduduk di Sri Aman boleh memohon dan memperoleh pasport antarabangsa mereka dan dokumen perjalanan lain di Pejabat Imigresen Sri Aman, “katanya.

Leave a Reply

Top