SUNGAI PETANI, Seorang penagih dadah dipercayai membakar rumahnya di Kampung Permatang Tengah, Jalan Pantai Merdeka, di sini, petang sabtu, sebelum melarikan diri.

Dalam kejadian jam 5.20 petang itu, lelaki terbabit yang tinggal seorang diri di rumah berkenaan dilihat meninggalkan kediamannya sebelum ia terbakar.

Saksi yang enggan dikenali berkata, dia dimaklumkan jiran bahawa lelaki terbabit ada di rumah ketika kejadian sebelum bergegas meninggalkan kediamannya.

Katanya, sebelum ini lelaki berkenaan pernah membakar motosikalnya sendiri serta mencederakan datuknya yang sebelum ini tinggal bersama.

“Ketika kejadian, saya berada di dapur dan terkejut sebaik melihat api marak dari arah rumah berkenaan sebelum menjerit meminta tolong.

“Ini bukan kali pertama kejadian seperti ini kerana sebelum ini dia membakar motosikal di dalam rumah itu, tetapi api sempat dipadam,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba Dan Penyelamat Tikam Batu, Penguasa Bomba II, Mohamad Hafhid Omar, berkata sebuah jentera bersama tujuh anggota dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan jam 5.28 petang.

Setiba di lokasi kejadian, katanya, pihaknya mendapati kebakaran membabitkan sebuah rumah papan dan api dapat dikawal tiga minit kemudian.

“Bagaimanapun, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi, di sini, pada sabtu.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *