Share on Facebook

Pemuda UMNO akan mengetengahkan dua isu yang menjadi kebimbangan golongan muda masa kini, pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang bermula 5 Disember ini.

Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin, berkata dua isu berkenaan membabitkan usaha membantu kerajaan menangani agenda sosial dan kesihatan mental, di samping kos sara hidup yang dijuarai sayap parti itu.

Katanya, kedua-dua isu terbabit dilihat antara cabaran utama terhadap merealisasikan agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50), selain bagi memastikan anak muda tidak tersisih daripada arus pembangunan perdana.

“Pemuda akan membantu usaha kerajaan dalam menangani agenda sosial, antaranya bekerjasama rapat dengan Institut Penyelidikan Sosioekonomi (SERI) bagi membantu berhubung isu jenayah, remaja ponteng sekolah, dadah dan gejala sosial lain.

“Kesihatan mental juga menjadi isu yang banyak melanda anak muda hari ini seperti tekanan mental dan buli psikologi dan fizikal yang dikhuatiri melahirkan generasi merasakan mereka tidak dilindungi daripada unsur ini.

“Isu kos sara hidup juga akan terus diperjuangkan. Isu ini diangkat berdasarkan keupayaan kita selama ini. Ia bukan sekadar untuk PAU semata-mata, tetapi sebagai gerak kerja menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda UMNO di Menara Dato’ Onn di sini, hari ini.

Turut hadir, Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun.

Khairy berkata, Pemuda akan menjadikan PAU sebagai medan persiapan jentera menghadapi PRU dengan menceritakan mengenai pilihan yang ada pada pengundi muda iaitu kekal bersama Barisan Nasional (BN) atau memilih parti lawan.

“Saya meminta Pemuda memberi gambaran apa yang akan terjadi pada negara jika terus bersama BN, berbanding apa yang boleh terjadi jika pihak lawan dipilih sebagai kerajaan.

“Mesejnya ialah PRU bukan saja menentukan penubuhan kerajaan, tetapi juga masa depan negara. Kita perlukan kerajaan yang ada rekod pencapaian cemerlang, bukan yang mementingkan kemenangan jangka pendek saja,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *