Ahli Umno yang dikatakan berkecil hati kerana tidak dipilih sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar kini telah kembali bersama parti berkenaan.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau lega dan berterima kasih kepada individu tersebut kerana mempunyai jiwa besar sebagai ahli Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Saya berterima kasih kepada mereka yang dulunya mungkin berkecil hati tetapi perkara itu telah berjaya dipadamkan daripada hati mereka.

“Saya lega kerana mereka mempunyai jiwa yang besar sebagai pemimpin dan ahli Umno serta BN. Tindakan itu juga telah membuktikan kesetiaan mereka terhadap parti,” katanya ketika beramah mesra bersama pengundi di Pusat Daerah Mengundi Ulu Kenas di sini petang Selasa.

Tambah timbalan perdana menteri itu, kesepakatan yang telah dipulihkan itu juga dijangka dapat  membantu BN memenangi Parlimen Kuala Kangsar dengan majoriti lebih besar pada 18 Jun nanti.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh turut mengalu-alukan kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwa mahu memastikan BN tewas di PRK berkenaan.

“Saya mengalu-alukan kedatangan beliau,” jawabnya ringkas selepas ditanya mengenai kehadiran tokoh berkenaan.

Ahmad Zahid selain itu turut mengucap tahniah kepada jentera BN yang telah menjalankan tanggungjaawab dengan sebaiknya.

“Jentera yang ditugaskan telah berjaya menjalankan tanggungjawab dengan baik terutamanya dengan tidak membangkitkan isu sensitif dan menghormati Ramadan.

“Jentera menjadi sandaran penting buat parti kerana calon tidak dapat berkempen terus kepada pengundi seperti di PRK lain,” jelas beliau.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *