Pembukaan penempatan baharu atau kampung serpihan oleh masyarakat Orang Asli akan merencatkan perancangan kerajaan dalam membangunkan infrastruktur di perkampungan asal kaum pribumi itu.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ada lebih 100 kampung serpihan akibat isu perselisihan faham antara keluarga dan sebahagian perkampungan itu masih tidak mendapat kemudahan asas seperti bekalan air bersih, elektrik dan jalan.

Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat Orang Asli menghentikan pembukaan kampung itu bagi memastikan usaha kerajaan untuk menyediakan infrastruktur lengkap di semua 853 kampung Orang Asli di seluruh negara menjelang tahun 2023, berjalan lancar.

“Pembukaan kampung serpihan di atas tanah atau berhampiran tanah milik orang lain akan menyebabkan kerja pembangunan lebih sukar kerana kami (kerajaan) terpaksa meminta kebenaran tuan tanah.

“Kementerian pula terpaksa berhadapan isu persepsi orang ramai yang kononnya (kerajaan) meminggirkan Orang Asli di kampung serpihan tanpa memahami isu sebenar,” katanya pada sidang media di Majlis Kesyukuran Projek Bekalan Elektrik (BELB) di Kampung Orang Asli, Hulu Kemensah, Hulu Kelang di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi) Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ir Mohd Aminuddin Mohd Amin dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Mohd Jamalludin Kasbi.

Projek bekalan elektrik di Kampung Orang Asli Hulu Kemensah membabitkan kos RM1.7 juta dimulakan pada tahun 2012 namun tergendala akibat tidak mendapat kebenaran tuan tanah serta isu berkaitan Jabatan Perhutanan.

Selepas isu itu selesai, projek berkenaan disambung semula pada tahun 2015 dan siap pada Januari lalu serta penambahan 10 lampu jalan baharu yang bakal memberi manfaat kepada 120 penduduk kampung itu.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, hanya 31,000 hektar daripada 136,000 hektar tanah berjaya diwartakan sebagai perkampungan Orang Asli berikutan sukar mendapat kerjasama masyarakat itu.

Katanya, enam perkampungan Orang Asli tidak membenarkan kerajaan negeri mengukur kawasan di perkampungan itu mereka bagi membolehkan penempatan itu diwartakan.

Contohnya, di Bera, Pahang masyarakat Orang Asli tidak membenarkan kerajaan mengukur tanah kerana menuntut 5,000 hektar lagi tanah sebagai perkampungan mereka.

“(Ini menyebabkan) Kementerian terpaksa ketepikan enam perkampungan itu daripada program mengukur dan mewartakan tanah Orang Asli.

“Kami berunding dengan kerajaan Perak, Selangor, Pahang dan Kelantan untuk menyelesaikan isu tanah dan mewartakan perkampungan Orang Asli. Isu ini penting diselesaikan supaya tiada pihak mendakwa tanah yang hendak dibangunkan adalah miliknya secara persendirian,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *