Seorang pelancong warga Iran dihukum penjara dua hari dan denda RM2,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan merokok di dalam tandas pesawat dalam penerbangan dari Tehran, Iran ke Kuala Lumpur, Rabu lalu.

Tertuduh Ali Firooz, 35, dari Tehran membuat pengakuan berkenaan selepas memahami pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah

Majistret Norul Fitri Hamdan menetapkan tertuduh dipenjara dua hari dari tarikh ditangkap pada Rabu lalu dan denda RM2,500.

Mengikut pertuduhan, Ali didapati merokok di dalam pesawat Air Asia dalam penerbangan dari Tehran ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada jam lebih kurang 7.55 pagi, Rabu lalu.

Tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 100 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM25,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, T Ashvinii memohon supaya mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh atas alasan tindakannya boleh membahayakan keselamatan penumpang lain di dalam pesawat.

Tertuduh yang diwakili peguam Zaflee Pakwanteh bagaimanapun memohon mahkamah mempertimbang hukuman ringan berikutan ini kesalahan pertama tertuduh.

“Malah anak guam saya juga dalam proses mencari pekerjaan dan dia sepatutnya bertemu keluarga angkatnya di Belanda,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *