Pekerja Rayani Air merayu Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) supaya menarik balik pembatalan lesen perkhidmatan udara (ASL) dan sijil pengendali udara (AOC) bagi membolehkan syarikat penerbangan itu kembali beroperasi.

Rayuan tersebut dibuat oleh satu lagi kumpulan pekerja Rayani Air yang mempunyai pendapat berbeza dengan tidak hanya mendesak pemiliknya, Ravi Alagendrran dan Datuk Karthiyani Govindan untuk melunaskan tunggakan gaji kira-kira 400 kakitangannya sahaja.

Sebaliknya, mereka menyatakan sokongan supaya syarikat penerbangan patuh syariah pertama negara itu kembali ‘bernyawa’.

Afrizam Drawi yang mendakwa mewakili sejumlah kakitangan berkata, pada masa ini apa yang lebih penting adalah memastikan kelangsungan operasi syarikat penerbangan itu yang akan memanfaatkan pekerjanya.

Afrizam yang merupakan Pegawai Perhubungan Awam dan Hal Ehwal Kerajaan di Rayani Air berkata, perolehan semula ASL dan AOC itu akan membolehkan pemiliknya mendapat pelabur baharu untuk menyuntik modal dalam syarikat yang akan mengutamakan bayaran tunggakan gaji pekerja.

“Rayani Air sebenarnya sudah pun temui pelabur dan di peringkat akhir memuktamadkan perjanjian. Tetapi Ravi dan Karthiyani tidak bernasib baik apabila Mavcom memutuskan untuk batalkan lesen.

“Kami mewakili pekerja yang menyokong pihak pengurusan meminta supaya DCA dan Mavcom mempertimbangkan rayuan ini demi nasib dan masa depan para pekerja Rayani Air, terutama Aidilfitri yang bakal menjelang,” katanya.

Pada Ahad, kumpulan pekerja Rayani Air yang diwakili Zulkalnain Azdan yang selama ini bersuara membuat tuntutan mendesak pemiliknya supaya melunaskan bayaran gaji tertunggak selama tiga bulan, sebelum Aidilfitri.

Dengan Aidilfitri yang menjelang berbaki kurang dua minggu lagi, nasib kakitangan yang sebahagiannya beragama Islam hanya tinggal harapan buat mereka yang mahu meraikan perayaan itu bersama keluarga dalam suasana gembira.

Afrizam berkata, Ravi dan Karthiyani akan mengemukakan rayuan kepada DCA dan Mavcom bagi meminta suruhanjaya itu menarik semula pembatalan AOC dan ASL terhadap Rayani Air.

“Ravi dan Karthiyani akan menghantar surat rayuan kepada DCA dan Mavcom pada Isnin (hari ini). Kami berharap rayuan ini akan dipertimbangkan,” katanya.

Dalam pada itu, Afrizam meminta supaya kumpulan yang diwakili Zulkalnain untuk turut sama bersatu bagi memberi sokongan supaya Rayani Air boleh beroperasi semula, sekali gus memberi sinar baharu kepada pekerja syarikat penerbangan itu.

Terdahulu, Zulkalnain yang juga Pengurus Stesen Rayani Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) menegaskan bahawa pembatalan lesen itu bukan alasan untuk pemilik syarikat penerbangan tersebut bersikap lepas tangan.

Menurut Zulkanain, kebanyakan pekerja Rayani Air kini terbeban dengan kehidupan ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ dan ada yang terpaksa berhutang.

Tambahnya, tindakan undang-undang akan diambil sekiranya pemilik Rayani Air gagal melunaskan tunggakan gaji sebelum Aidilfitri.

Pada 13 Jun lalu, Mavcom mengumumkan ASL bagi Rayani Air dibatalkan berkuat kuasa serta-merta, kerana melanggar syarat-syarat ASL dan kurang keupayaan dari segi kewangan dan pengurusan untuk meneruskan operasi sebagai syarikat penerbangan komersial.

Pada hari sama, DCA membatalkan AOC bagi syarikat penerbangan itu selepas melakukan siasatan penuh ke atas pentadbiran dan audit keselamatan operasi syarikat berkenaan.

Mavcom membuat penilaian terhadap Rayani Air susulan penggantungan sementara AOC syarikat penerbangan itu selama tiga bulan oleh DCA pada 11 April lalu.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *