PUTRAJAYA, Majlis Konvensyen Pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) hari ini menyaksikan 581 pegawai dan kakitangannya melafazkan Ikrar Bebas Rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim, yang menyaksikan majlis itu, berkata konvensyen terbabit adalah bagi memantapkan tadbir urus RELA sebagai sebuah agensi kerajaan yang bebas daripada sebarang anasir rasuah dan memastikan integriti pegawai serta kakitangan RELA sentiasa pada tahap tertinggi.

“Elemen integriti perlu dititikberatkan bagi mengelakkan berlakunya insiden seperti amalan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan hal yang boleh mencemarkan kewibawaan organisasi ini.

“Suka saya nyatakan bahawa isu integriti perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas, integriti bukan sahaja tertumpu kepada isu rasuah sahaja, malah ia meliputi konsep yang lebih besar dalam membentuk budaya kerja yang mampan dalam sesebuah organisasi,” katanya.

Majlis menandatangani Ikrar Bebas Rasuah itu didahului oleh Ketua Pengarah RELA, Zulkifli Abidin, dengan disaksikan Ketua Pengarah SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad dan Alwi. Majlis yang sama turut menyaksikan penyerahan buku Pelan Integriti Organisasi (PIO) RELA 2.0 kepada Pegawai RELA Negeri seluruh Malaysia.

Kata Zulkifli, dalam tempoh hampir enam bulan selepas mengambil alih jawatan Ketua Pengarah RELA, pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi mengukuhkan tahap integriti dalam kalangan pegawai, kakitangan dan anggota RELA.

“Antaranya penerapan nilai murni kepada pegawai dan anggota melalui latihan serta amalan kerja harian selain pemerkasaan amalan integriti ada peringkat daerah dan anggota.

“Turut menjurus ke arah itu ialah pelancaran Pelan Integriti RELA 2.0 oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semasa sambutan Hari Ulang Tahun RELA ke 45 di Kota Kinabalu, Sabah.

“Pelan integriti ini digubal bersama Institut Integriti Malaysia (IIM), yang menggariskan enam strategi utama dalam penerapan integriti dalam RELA,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *