Kementerian Dalam Negeri tidak menolak kemungkinan bahawa pegawai berpangkat tinggi agensi kementerian itu turut terlibat dalam sindiket penyeludupan manusia dan pemalsuan pasport yang dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri berkata siasatan terhadap aktiviti sindiket itu akan diteruskan sehingga kumpulan tersebut dilumpuhkan sepenuhnya dan semua pesalah diheret ke mahkamah.

“Saya telah memberi arahan kepada polis selepas memperoleh aduan awam dan laporan media mengenai beberapa individu dalaman berpangkat rendah menjalankan aktiviti pemalsuan.

“Aktiviti pengintipan telah dijalankan lebih dua bulan dan mendapati beberapa pegawai berkenaan telah melakukan kesalahan dan merosakkan imej jabatan dan kementerian,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Akrab Kebangsaan Kali Ke-7 di sini, Jumaat.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sindiket itu yang dikesan sewenang-wenangnya menjadikan KLIA dan klia2 sebagai pusat transit warga Sri Lanka sebelum berlepas ke negara ketiga.

Media melaporkan dua pegawai imigresen antara 19 individu yang ditahan selepas didapati terlibat dalam sindiket penyeludupan manusia menggunakan pasport Malaysia palsu melalui KLIA di sini semalam.

“Sesiapa yang melakukan penyelewengan ini telah merosakkan imej organisasi. Pendirian kita tidak pernah berkompromi dan pesalah-pesalah bukan hanya dikenakan tindakan displin dalaman, tetapi juga akan diheret ke mahkamah.

“Mereka telah merosakkan imej kementerian dan agensi serta sanggup gadai maruah negara untuk mendapatkan wang ringgit,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *