Beberapa pegawai kanan tentera Turki telah ditahan kerana melakukan rampasan kuasa di negara berkenaan pada lewat malam Jumaat.

Daily Mail melaporkan, selain itu lapan lagi pegawai kanan tentera turut ditahan di Greece selepas melarikan diri.

Komander Kor Ketiga, General Erdal Ozturk antara pegawai tertinggi yang telah ditahan dan akan menghadapi tuduhan kerana melakukan pengkhianatan.

Kerajaan Turki berkata, hampir 3,000 tentera telah ditahan dalam satu operasi pembersihan terhadap angkatan tentera yang melakukan rampasan kuasa.

Turki juga menahan seorang anggota mahkamah tertinggi negara itu, Alparslan Altan, salah seorang daripada 17 hakim di Mahkamah Perlembagaan namun tidak menyatakan punca tahanan beliau.

Terdahulu, pihak berkuasa kehakiman berkata, sebanyak 2,745 hakim di seluruh negara itu akan dipecat berikutan rampasan kuasa.

Pihak berkuasa Turki berjaya merampas kembali kawalan di negara itu selepas usaha rampasan kuasa oleh tentera yang tidak berpuas hati dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan hanya mampu bertahan selama lima jam.

Kegagalan itu turut berpunca daripada kebangkitan rakyatnya yang menolak rampasan kuasa dan mempertahankan kerajaan sedia ada.

Berikutan itu, Erdogan menggesa Amerika Syarikat untuk mengekstradisi Fethullah Gulen, yang dituduh dalang dalam rampasan kuasa itu untuk dibicarakan di Turki.

Presiden Turki itu berkata, beliau telah berkali-kali memberitahu Presiden Barack Obama bahawa Gulen telah mengancam keselamatan Turki dan mahu ulama itu diekstradisi.

“Saya menyeru Amerika di sini, saya sedang menyeru Presiden (Obama). Presiden Obama, saya memberitahu anda sendiri, sama ada mengusir atau menyerahkan kepada kami orang ini yang tinggal di kawasan seluas 400 ekar tanah di Pennsylvania,” katanya, meskipun tanpa merujuk nama Gulen.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *