KUALA LUMPUR, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengenalpasti pegawai dan anggotanya yang bakal ditempatkan di jawatan atau bahagian yang dirasakan sensitif bagi mengelak masalah integriti berulang.

Antara kriteria yang menjadi keutamaan dalam penugasan ini adalah kemampuan dalam memikul tanggungjawab di sesuatu jawatan diberikan serta mempunyai aspek integriti dan amanah yang tinggi.

Sebelum ini, 16 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) ditahan selepas dipercayai memberikan maklumat kepada kumpulan kongsi gelap manakala dua Ketua Polis Daerah dan empat pegawai kanan di Melaka, ditahan kerana disyaki menerima suapan dari sindiket perjudian.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata pada masa ini di peringkat pengurusan tindakan awal adalah melihat serta mengkaji segala kelemahan yang timbul selain melakukan tindakan penambahbaikkan.

“Sudah semestinya akan ada sedikit pertukaran membabitkan pegawai dan anggota demi memastikan apa yang berlaku sebelum ini tidak akan berlaku lagi di masa hadapan.

“Bagaimanapun pada masa ini kita masih menunggu laporan terkini siasatan yang dijalankan terhadap pegawai dan anggota terbabit sebelum kita melakukan pertukaran,” katanya pada Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Kadet Inspektor, di sini, pagi tadi.

Beliau berkata antara jawatan sensitif yang diberi tumpuan adalah Ketua Polis Daerah (KPD), pegawai Risikan dan Operasi (RO) dan Pegawai Turus, Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7).

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *