Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yakin akan ‘menyapu bersih’ kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan Parlimen Kota Samarahan dan Batang Sadong yang merupakan kubu kuat parti, pada pilihan raya negeri ke-11 Sarawak (PRN-11) ini.

Timbalan presidennya, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata keyakinan parti itu berlandaskan kepada pembangunan luar bandar cukup pesat yang dibawa oleh Barisan Nasional (BN) Sarawak di bawah kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem terutama di Samarahan.

“Sebenarnya, Samarahan merupakan contoh yang tepat atas kejayaan mentransformasikan kawasan luar bandar dan Samarahan akan digunakan sebagai platform untuk membangunkan kawasan yang lain di Sarawak.

“Jadi saya yakin bahawa kita akan dapat kemenangan yang cemerlang di kawasan Samarahan,” katanya dalam satu persidangan media selepas menghadiri majlis perjumpaan Jentera Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-11 bagi cawangan Asajaya, Muara Tuang, Stakan, Sadong Jaya, Simunjan, Gedong, dan Sebuyau, di Ibu Pejabat PBB, di sini hari ini.

Kawasan DUN Sadong Jaya, Simunjan, dan Gedong berada dalam kawasan Parlimen Batang Sadong, manakala DUN Muara Tuang dan Asajaya berada dalam kawasan Parlimen Kota Samarahan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *