Pengerusi Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed akan memastikan tiada anggotanya melompat ke parti lain susulan terdapat cubaan daripada pihak lawan untuk menarik ahli Umno menyertai parti mereka.

Mustapa yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berkata pihaknya bukan sahaja akan mempertahankan kubu Umno di Kelantan malah akan memastikan BN terus meraih sokongan daripada rakyat terutama pengundi atas pagar pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

“Kita (BN) jangan alpa kerana antara pendekatan mereka (parti lawan) adalah mencari orang-orang yang kecewa, orang-orang yang mungkin ada masalah peribadi (dengan BN) dan lain-lain.

“Saya sebagai pengerusi (BN Kelantan) tidak mengambil ringan (mengenai perkara ini) kerana mereka sebelum ini telah menyerang Kelantan beberapa kali, dan kita akan rapatkan barisan dan pastikan bahawa serangan-serangan mereka ini tak berhasil,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Jentera BN PRU14 Parlimen Tumpat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Berangan di sini, hari ini.

Turut hadir Pemangku Ketua Umno Bahagian Tumpat Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz dan Ketua MCA Bahagian Tumpat Kong Siew Fatt.

Mustapa turut menyerahkan surat pelantikan kepada 52 ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) pada majlis yang dihadiri kira-kira 1,000 ahli parti komponen BN itu.

Mengulas lanjut, beliau berkata BN akan mendekati pengundi atas pagar terutama dalam kalangan pesara kerajaan agar mereka terus memberi sokongan kepada parti yang memerintah negara ketika ini.

Dalam pada itu, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata beliau telah mengarahkan kesemua 14 ketua bahagian Umno untuk menghidupkan PDM masing-masing sebagai persiapan menghadapi PRU14.

“Banyak bahagian sudah menubuhkan dan melantik ketua-ketua PDM dan menghidupkannya, cuma perasmian belum lagi. Ini penting kerana parti bergantung kepada akar umbi,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *