Share on Facebook

PETALING JAYA, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Jabatan Imigresen kini memperkenalkan pasport Malaysia generasi baharu dengan rekaan berlatarkan mercu tanda negara dan hiasan batik yang sukar dipalsukan kerana mempunyai ciri keselamatan menggunakan teknologi terkini yang canggih.

Timbalan Perdana Menteri berkata, dengan pengeluaran pasport generasi baharu itu, kerajaan percaya isu pemalsuan pasport dapat diselesaikan sama sekali.

Katanya, pasport berkenaan juga akan menggantikan pasport yang digunakan ketika ini yang mana dalam tempoh dua bulan, semua yang lama digantikan dengan baharu.

“Paling penting, semua pasport Malaysia generasi baharu ini mengikut piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

“Kita percaya tidak akan berlaku pemalsuan kepada pasport ini kerana kita juga mempunyai sistem keselamatan pada polikarbonat iaitu muka pasport yang keras itu. Kita sasarkan 100 peratus pemalsuan dapat diatasi ,” katanya selepas melawat dan merasmikan kilang percetakan pasport Datasonic, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pasport generasi baharu itu mempunyai ciri keselamatan dengan kod bar mengandungi maklumat peribadi pemilik yang tidak boleh ditukar walaupun menggunakan sistem teknologi tercanggih untuk pemalsuan.

Katanya, reka bentuk pasport yang baharu juga mengambil kira beberapa ciri dalam prinsip Rukun Negara dan imej grafik yang menggambarkan lokasi ikonik dan mercu tanda negara.

“Saya ingin juga menyebutkan bahawa mesin yang digunakan adalah berteknologi baharu dan ia boleh mencetak enam warna. Ini satu pelaburan yang agak tinggi oleh pihak syarikat namun yang lebih penting adalah ciri keselamatan pasport ditingkatkan,” katanya.

Beliau menjelaskan pasport baharu itu memberikan pulangan perkhidmatan terbaik kepada Jabatan Imigresen Malaysia.

“Bagi permohonan pasport yang diperbaharui hanya mengambil masa 15 minit dari pembayaran untuk pembaharuan pasport itu dibuat dan ini pencapaian terbaik pernah direkodkan oleh imigresen manakala permohonan pasport baharu hanya mengambil masa satu jam setelah pembayaran dibuat,” katanya.

Selain itu katanya, proses keluar masuk menggunakan kaunter imigresen sedia ada, waktu yang digunakan bagi urusan pasport cuma mengambil masa 45 saat manakala melalui pintu automatik, hanya kira-kira 10 saat.

“Maka, kita menggalakkan sama ada pelancong luar negara ataupun rakyat warga negara Malaysia untuk menggunakan pintu automatik. Itu juga mengambil kira aspek biometrik dan pengecaman muka,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *