Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa meramalkan parti-parti serpihan yang wujud pada masa kini bakal terkubur menjelang PRU14 akan datang susulan daripada tindakan Pas memutuskan tahaluf siyasi bersama PKR baru-baru ini.

Menurut beliau, parti-parti serpihan tidak mempunyai tempat pada PRU14 ini memandangkan rakyat dapat melihat secara jelas pihak terlibat hanya melayani rasa tidak puas hati individu dan tidak mempunyai kemantapan semangat serta falsafah perjuangan.

“Sebab itu Pas sendiri dapati mereka sukar untuk mencari titik pertemuan yang menyebabkan tahaluf siyasi itu perlu disemak semula.

“Dari segi hakiki, kalau nak serahkan kuasa dan mandat itu sukar sekiranya sesebuah parti tidak mempunyai kekuatan falsafah dan dasar yang jelas,”katanya kepada media selepas merasmikan Sambutan Hari Keluarga Ketereh yang diadakan di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Kepong, hari ini.

Sebelum ini, Majlis Syura Ulama Pas yang bersidang dalam satu mesyuarat telah memutuskan untuk membatalkan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan PKR serta turut menyenaraikan tiga pelanggaran syarat dilakukan oleh parti itu.

Susulan perkembangan tersebut, Annuar yang juga merupakan Ahli Parlimen Ketereh memaklumkan bahawa walaupun tahaluf siyasi antara dua parti berkenaan telah terputus, namun Umno-BN tidak seharusnya lalai dalam perjuangan untuk berdepan PRU14 akan datang.

“Mahu tak mahu, Pas adalah sebuah parti tersendiri dan mereka boleh buat apa-apa sahaja keputusan mahupun pendirian.

“Saya lebih suka kepada pendekatan untuk memperingati diri kita agar jangan lalai,”katanya.

Buat masa ini, Annuar memaklumkan bahawa pihaknya sedang membuat penilaian serta kajian untuk memastikan pengubahsuaian dapat dilaksanakan bagi memantapkan parti menjelang PRU14 ini.

Jelas beliau, Umno mesti bekerja kuat untuk mengukuhkan kedudukan dan fokus mereka terhadap hubungan dengan rakyat malah khidmatnya di dalam kerajaan juga seharusnya menjadi keutamaan.

“Kajian yang kita buat misalnya adalah seperti untuk pastikan sama ada pertembungan dua penjuru atau tiga penjuru lebih baik dan siapa yang akan bekerjasama dengan kita.

“Umno ambil pendekatan untuk tunggu dan lihat namun disamping itu kita jangan lalai,”katanya.

Mengulas mengenai program berkenaan, Annuar memaklumkan bahawa ia adalah merupakan manifestasi daripada pesanan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menginginkan parti untuk memperbanyakkan aktiviti di peringkat akar umbi.

Tambah beliau, satu badan yang dikenali sebagai Permaufakatan Ramah Mesra Parlimen Ketereh (Perapat) turut ditubuhkan bagi mengatur program melibatkan pengundi-pengundi Parlimen Ketereh yang bekerja di sekitar Lembah Klang.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *