Penduduk di Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak perlu bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlaku banjir dalam tempoh Januari hingga Mac depan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kebiasaannya banjir musim tengkujuh berlaku mulai Disember, namun kali ini ia bermula bulan ini.

“Bagi menghadapi musim tengkujuh yang dijangka akan berlaku dalam tempoh tiga bulan tersebut, penduduk di negeri terbabit perlu bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlaku banjir,” katanya ketika berucap pada perjumpaan dengan mangsa banjir di pusat pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Lanas di sini pada Ahad.

Seramai 239 orang daripada 56 keluarga kini ditempatkan di SMK Ayer Lanas sejak semalam.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kerajaan persekutuan akan terus memantau dan membantu lima negeri itu, diketuai oleh Shahidan.

“Tanpa mengira fahaman politik, kita akan memberi bantuan kepada semua rakyat yang terbabit secara adil,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan telah menubuhkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi menguruskan sesuatu bencana dengan lebih terancang melalui Prosedur Operasi Standard (SOP) yang disediakan.

Beliau berkata pengurusan bencana itu dimantapkan lagi dengan penglibatan jabatan dan agensi lain yang berkaitan bencana.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *