Anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerima baik pandangan dan keprihatinan Malaysia terhadap konflik berdarah di Syria, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Selain anggota Majlis Keselamatan, timbalan perdana menteri berkata pandangan Malaysia tersebut turut diterima baik oleh pemimpin-pemimpin negara yang terlibat dalam proses mencari penyelesaian di negara bergolak itu.

Justeru, katanya, ini membuktikan negara kecil seperti Malaysia turut mempunyai peranan penting dalam memberi pandangan dan cadangan bagi mencari penyelesaian berkekalan di negara tersebut.

Ahmad Zahid, yang kini sedang berada di New York, berkata demikian ketika ditemu bual secara langsung melalui program ‘Landskap’ terbitan RTM di sini, malam Jumaat.

Pada Khamis, Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, telah menyampaikan ucapannya pada Mesyuarat Peringkat Tinggi Mengenai Situasi di Syria pada Majlis Keselamatan PBB.

Mengulas mengenai pandangan segelintir pihak tentang keperluan negara  memberi perlindungan kepada 3,000 pelarian Syria, beliau menegaskan bahawa tindakan itu dilakukan atas nama kemanusiaan dan demi menterjemahkan komitmen Malaysia di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata jumlah tersebut adalah kecil berbanding 1.5 juta pelarian Syria di Lubnan dan ratusan ribu lagi yang sedang berlindung di negara-negara Kesatuan Eropah.

Katanya, langkah tersebut bukan sesuatu perkara yang baharu tetapi satu tindakan Malaysia yang konsisten selepas pernah memberi perlindungan kepada 300 warga Bosnia yang satu ketika dahulu negara mereka mengalami konflik yang sama.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *