Pakej kontrak bernilai antara RM5 bilion hingga maksimum RM8 bilion akan diagih kepada syarikat Bumiputera secara ‘carve out & compete’ untuk projek besar, Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dan Bukit Bintang City Centre (BBCC).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan ketika mengumumkan perkara itu hari ini berkata projek tersebut akan turut membabitkan kontraktor sehingga dari kelas F.

“Dasar baharu yang menekankan kepada projek-projek besar dan ikonik ini yang mana kontrak-kontrak di bawah projek ini akan dianugerahkan kepada syarikat Bumiputera melalui saingan,” katanya, sambil menambah projek Mass Rapid Transit (MRT) adalah projek perintis kepada dasar baharu itu.

Bercakap kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera di sini hari ini, Najib berkata ia merupakan sebahagian inisiatif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) menerusi pelan pelaksanaan ‘Carve Out & Compete’.

Najib berkata pakej kontrak bernilai sekurang-kurangnya RM5 bilion bakal diagihkan kepada syarikat-syarikat Bumiputera dari Sarawak untuk projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak.

Di bawah inisiatif yang sama, peruntukan 50 peratus atau RM1.6 bilion daripada kontrak pembinaan projek BBCC bakal diagihkan kepada syarikat-syarikat Bumiputera dalam rancangan pembangunn dan pembinaan projek tersebut.

Projek BBCC yang dibangunkan bersama Uda Holdings Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Eco World Development Group Bhd itu akan melibatkan pembangunan di kawasan Penjara Pudu Lama, katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) yang dilancarkan pada Januari 2014 telah berjaya melahirkan 90 usahawan Bumiputera baharu dari pelbagai industri.

Katanya SUPERB adalah antara langkah proaktif kerajaan dalam membantu syarikat ‘start-up’ dan usahawan muda Bumiputera ke peringkat yang lebih tinggi dan menggalakkan penyertaan belia Bumiputera ke dalam bidang keusahawanan.

“Selain daripada sokongan geran perniagaan, usahawan-usawahan SUPERB turut menerima manfaat bimbingan dan mentoring,” katanya.

Pada majlis yang sama, Najib turut menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Celcom Axiata Bhd dan Touch & Go Sdn Bhd bagi pelaksanaan ‘Adopt & Grow”.

“Menerusi kolaborasi strategik ini, syarikat-syarikat yang terlibat akan bertindak sebagai mentor dalam memberi bimbingan kepada usahawan SUPERB khususnya dalam bidang yang berkaitan dengan industri syarikat tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Najib turut mengumumkan syarikat Bumiputera, Aiis Solutions Sdn Bhd telah berjaya menghasilkan teknologi pembersihan enjin pesawat menggunakan ais kering yang telah menarik minat AirAsia Bhd.

“Maka pada hari ini, kita juga menyaksikan syarikat Aiis Solution bertukar dokumen perjanjian bersama AirAsia, yang membenarkan syarikat penerbangan tambang murah itu mengaplikasi teknologi dan produknya ke atas enjin pesawat untuk menguji keberkesanya,” katanya.

Katanya teknologi tersebut didapati lebih efektif dan memberi kelebihan daripada cara biasa pembersihan enjin pesawat sebelum ini yang menggunakan air.

“Syarikat yang menggunakan kaedah ini didapati boleh menjimatkan perbelanjaan dan penggunaan minyak.

“Saya harap ini merupakan satu kajian kes dari SUPERB dalam melahirkan satu syarikat Bumiputera yang berjaya di negara dan teknologinya juga berpotensi untuk dipasarkan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *