Kerajaan Pahang akan mengadakan Karnival Usahanita peringkat negeri di Temerloh pada Mei ini dalam usaha mendedahkan peluang perniagaan yang boleh diceburi oleh golongan wanita.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Multimedia dan Komunikasi negeri Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, karnival dijangka menarik 2,000 usahawan dari semua daerah di negeri itu akan membantu usaha kerajaan negeri dalam melahirkan lebih ramai wanita menjadi usahawan.

“Sepanjang tahun lepas sebanyak 2,000 usahanita berjaya dilahirkan di negeri ini. Mereka menjalankan pelbagai perniagaan secara kecil-kecilan dan ada yang sudah membuka kedai sendiri dan memperolehi pendapatan ribuan ringgit sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan premis keusahawanan Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Maran Makeup Bakery serta Mara Emizoi di kawasan Rehat dan Rawat Maran di sini Ahad.

Shahaniza yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Sentul itu juga menggesa golongan wanita merebut pelbagai peluang latihan kemahiran yang disediakan ECER untuk menjadi usahawan terlatih serta berkemahiran bagi menambahkan pendapatan keluarga.

Beliau berkata sebahagian besar mereka yang mendapat latihan terutamanya melalui ECER sudah boleh bertapak dan berjaya dalam perniagaan walaupun hanya bermula secara kecil-kecilan.

Bidang perniagaan dan keusahawanan mampu menjanjikan pendapatan yang lumayan jika dilakukan secara bersungguh-sungguh, katanya.

“Usahawan tidak boleh berputus asa, sebaliknya mereka perlu tekun dan bersedia menghadapi pelbagai cabaran dan halangan yang merupakan asam garam di dalam dunia perniagaan,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *