BUTTERWOTH, Kegiatan majikan yang turut menjadi ‘orang tengah’ membekalkan pekerja warga asing menjadi antara punca lambakan golongan itu di negara ini pada masa ini.

Ketika memohon pekerja asing untuk syarikat sendiri, mereka juga dipercayai cuba mendapatkan pekerja untuk pihak lain menyebabkan berlaku kegiatan pemerdagangan manusia.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata justeru, pihaknya terpaksa mengambil tindakan tegas dalam isu tenaga kerja asing di negara ini, termasuk tidak meluluskan permohonan majikan yang gagal memenuhi syarat.

Katanya, majikan tidak boleh membuat permohonan mendapatkan pekerja asing dalam jumlah yang besar, sekiranya mereka didapati tidak mempunyai keperluan berbuat demikian.

“Kita terpaksa lebih tegas dalam isu ini bagi memastikan tidak ada majikan yang mengambil kesempatan menjadi orang tengah.

“Justeru, hanya majikan yang benar-benar memerlukan pekerja asing boleh memohon terus dengan Imigresen ataupun melalui vendor yang dilantik bagi urusan berkenaan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri sesi dialog imigresen dan penggajian pekerja asing di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mustafar berkata, majikan yang memerlukan jumlah pekerja asing yang ramai tidak akan berdepan masalah berbuat demikian memandangkan pihaknya akan meluluskan permohonan mengikut keperluan syarikat masing-masing.

“Contoh mereka mempunyai syarikat pembinaan, dan syarikat itu memerlukan pekerja ramai. Jadi, kita akan tengok balik permit atau lesen Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) serta teliti perjanjian kontrak yang mereka miliki sebelum meluluskannya.

“Bagaimanapun, kalau mereka memohon pekerja sampai 1,000 orang misalnya, tetapi tidak ada projek, itu namanya mahu menjual orang. Pastilah kita tidak akan meluluskannya kerana situasi itu akhirnya akan menyebabkan berlaku lambakan pekerja asing di negara kita,” katanya.

Mustafar berkata, setakat ini seramai 1.72 juta pekerja asing berdaftar di negara ini dan Kementerian Sumber Manusia memainkan peranan untuk membuat analisis untuk memastikan sama ada jumlah itu cukup untuk menampung keperluan syarikat dan industri.

Dalam perkembangan lain, Mustafar berkata, pihaknya akan mendapatkan senarai nama individu atau penganjur berkaitan pesta gay yang dirancang diadakan di Kuala Lumpur akhir bulan ini daripada polis, untuk menyekat kemasukan golongan itu ke negara ini.

“Penganjuran pesta itu diharamkan dan kita dipertangungjawabkan untuk sekat kemasukan mereka. Justeru, polis atau jabatan agama akan menyerahkan senarai nama individu berkenaan untuk membolehkan urusan sekatan dijalankan,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *