Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan  (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, selain mempelajari mereka berjaya, orang yang gagal juga boleh diambil manfaatnya.

Kenyataan itu dibuat Annuar dilaman Facebooknya hari ini dipercayai susulan kritikan yang dibuat Tengku Mahkota Johor, Tuanku Ismail Sultan Ibrahim yang menyatakan baginda tidak akan mengambil nasihat dari orang yang gagal.

“Dari orang yang berjaya ada sesuatu yang boleh dipelajari dan dari orang yang gagal juga mungkin banyak yang boleh dimanfaati,” kata Annuar.

Annuar berkata, apa yang penting, dalam hidup ini biarlah bersederhana dan sedia dinasihat dan menasihati dengan niat yang baik dan jujur.

“Namun adakalanya diam itu lebih baik dari berkata-kata,” katanya dipetik.

Dalam kritikkan sebelum ini, Tuanku Ismail menegaskan, setiap kali sebuah kelab bola sepak atau syarikat menghadapi masalah kewangan, ia dipanggil kelemahan pengurusan sekaligus mencerminkan  sikap pemimpin tersebut.

Baginda turut menyatakan contoh bagaimana pengurusan Kafa sebelum ini yang dilihat tidak membuat keputusan tepat sewaktu penajaan yang mencukupi termasuk membawa masuk pemain import tambahan dan jurulatih import baru.

Isu itu tercetus apabila Annuar dilapor mempertikaikan pendirian Persatuan Bola Sepak Melaka United (Musa) supaya FAM ditadbir secara proksi.

Annuar berkata, cadangan Musa bagi melantik Tan Sri Aseh Che Mat sebagai presiden badan induk itu untuk membolehkan Tunku Ismail terbabit dalam FAM adalah sama sekali tidak boleh diterima kerana melanggar statut badan induk berkenaan.

Kafa kini berada dalam situasi tenat dan kemungkinan tidak akan menyertai Liga Malaysia (Liga-M) musim depan setelah berdepan dengan kiris kewangan dan penaja dan situasi makin parah apabila Annuar mengambil tindakan drastik meletak jawatan sebagai presiden baru-baru ini.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *