PUTRAJAYA, Operasi bagi membanteras kegiatan rompakan di laut yang menyasarkan kargo petroleum cecair akan bermula esok melibatkan perairan wilayah selatan iaitu Melaka, Negeri sembilan dan Johor, kata Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Zulkifili Abu Bakar.

Beliau berkata Ops Padu selama dua minggu itu digerakkan secara bersepadu melibatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Polis Marin.

“Ops Padu membolehkan setiap aset penguatkuasaan melibatkan pegawai dari agensi lain. Sebagai contoh, jika aset TLDM digunakan seorang pegawai Maritim Malaysia dan seorang pegawai polis marin akan ditugaskan bersama sepanjang operasi.

“Jika aset pasukan polis marin digunakan, seorang pegawai Maritim Malaysia dan seorang pegawai TLDM akan ditugaskan bersama sepanjang operasi. Begitulah seterusnya jika melibatkan aset Maritim Malaysia,” katanya dalam sidang media pelancaran operasi itu di sini hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Anuwi Hassan dan Komander Pasukan Polis Marin Bukit Aman Datuk Abdul Rahim Abdullah.

Menurut Zulkifili, Ops Padu itu dilancarkan susulan rompakan kapal tangki milik syarikat minyak Thailand yang dikenali sebagai CP41 pada 23 Jun lalu di perairan luar Kuantan.

Media sebelum ini melaporkan CP41 yang membawa muatan diesel dalam pelayaran ke Songkla, Thailand dari Singapura disamun kumpulan lanun yang mencuri 1.5 juta liter minyak diesel daripada 3.8 juta liter muatan keseluruhan dibawa kapal terbabit.

Zulkifili berkata aktiviti rompakan di laut yang menjadikan kargo minyak diesel sebagai sasaran dilihat bagi memenuhi permintaan pasaran gelap dengan harga yang ditawarkan jauh lebih rendah daripada harga pasaran antarabangsa dan tempatan.

Ops Padu memberi tumpuan kepada kapal-kapal tangki yang membawa produk petroleum cecair seperti diesel dan petrol sahaja iaitu tidak termasuk cecair lain, katanya.

Beliau berkata fokus pemeriksaan Ops Padu ialah terhadap dokumen perkapalan, dokumen kargo dan segala deklarasi yang melibatkan pergerakan atau aktiviti kapal dan juga kargo.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *