Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama memuji usaha Malaysia membangunkan Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi (RDG3) bagi mengekang propaganda Daesh, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata perkara itu disuarakan Obama pada Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat yang berlangsung di sini Khamis.

“Ucapan penghargaan itu disebut dalam ulasannya dan dia berterima kasih kepada Malaysia…itu adalah sumbangan kita (Malaysia) untuk menangkis propaganda IS (Daesh),” katanya kepada wartawan Malaysia pada hari terakhir Sidang Kemuncak ASEAN Ke-28 dan Ke-29, dan sidang berkaitan, di sini.

Penubuhan pusat RDG3 itu dikemukakan Najib pada Sidang Kemuncak Pemimpin mengenai Pembanterasan Daesh dan Keganasan Melampau yang dipengerusikan Obama pada September tahun lepas.

Inisiatif itu adalah usaha mengekang pengaruh Daesh yang menggunakan laman sosial untuk merekrut anggota baharu serta menyebar ideologi di serata dunia.

Sementara itu, mengulas mengenai ketidakhadiran Presiden Filipina, Rodrigo Duterte pada sidang Kemuncak ASEAN-AS, Najib berkata beliau tidak bertanyakan perkara itu tetapi ketiadaan Duterte itu mungkin kerana tidak selesa dan serasi berikutan kontroversi melibatkan kedua-dua pemimpin berkenaan.

Bagaimanapun, Najib berkata Duterte menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-11 yang diadakan selepas itu (Sidang Kemuncak ASEAN-AS).

Beliau berkata berkata semasa EAS, Duterte turut menunjukkan gambar-gambar berkaitan masalah dadah di Filipina yang semakin teruk, serta gambar-gambar zaman kolonial yang menunjukkan ribuan rakyat Filipina dibunuh oleh tentera Sepanyol dan Amerika Syarikat semasa menjajah negara itu.

Menerusi gambar-gambar itu, kata Najib, Duterte mempersoalkan di mana hak asasi manusia yang dipegang oleh Amerika Syarikat sedangkan ramai rakyat negara itu dibunuh oleh tentera Amerika.

Perdana Menteri berkata Duterte turut menegaskan bahawa nilai hak asasi manusia tidak wajar diaplikasikan terhadap pengedar dadah yang telah membunuh, mengugut dan merogol banyak rakyat Filipina.

“Dia sendiri sudah melihat (kezaliman pengedar dadah) dan Filipina kini dibeban dengan masalah dadah yang begitu serius,” kata Najib.

Ditanya sama ada Duterte telah mencuri tumpuan dan menenggelamkan Sidang Kemuncak ASEAN itu sendiri, Perdana Menteri berkata, ia bergantung kepada bagaimana seseorang melihat perkara itu.

“Bila anda memperkatakan sesuatu yang agak keras (terhadap Presiden Amerika Syarikat) memang anda akan menjadi tumpuan tetapi bagi saya, yang penting ialah ASEAN terus bersatu dan menyatakan pendirian berasaskan fakta supaya ASEAN kekal sebagai sebuah pertubuhan yang dihormati,”katanya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-28 dan ke-29 itu yang pertama diadakan selepas pewujudan Komuniti ASEAN pada 31 Dis 2015, dan selepas ‘ASEAN 2025: Maju Bersama (Visi ASEAN 2025)’ diterima pakai, kedua-duanya dimuktamadkan semasa Malaysia menjadi pengerusi perkumpulan itu.

Laos memecahkan tradisi apabila memutuskan untuk mengadakan Sidang Kemuncak ASEAN ke-28 dan ke-29, selain turut mengadakan sidang-sidang berkaitan.

Pada sidang-sidang berkaitan hari ini, Perdana Menteri turut mengetuai Malaysia dalam sidang EAS, Sidang ASEAN-India dan Sidang ASEAN-Amerika Syarikat.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *