KOTA BHARU, PAS sifatkan pakatan pembangkang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad sudah hilang arah tuju selain tidak mampu menarik perhatian rakyat berikutan pelbagai masalah dalaman membabitkan pemimpin parti itu sendiri.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata perkara itu jelas apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Amanah Negara (PAN) serta PKR masing-masing berdepan masalah sehingga hilang kepercayaan rakyat.

Justeru, katanya, tiada keperluan untuk rakyat memilih parti dalam pakatan berkenaan.

“Saya melihat pembangkang sekarang sudah hilang tarikan. PKR dengan masalah dia, parti bunga (PPBM) dengan masalah dia, PAN pula langsung tak ada apa-apa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Loghat Kelantan di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, beberapa pemimpin PPBM keluar parti kerana menganggap budaya parti itu tidak mewakili Melayu selain mendakwa pemimpinnya mengamalkan kronisme.

Mengenai perpecahan dalam PPBM, beliau berkata, terserah kepada rakyat untuk menilainya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *