Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan beberapa inisiatif bagi melonjakkan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) di negara ini.

Najib berkata, inisiatif itu termasuk untuk membangunkan satu pelan induk yang komprehensif atau TVET Masterplan, yang diselaraskan oleh Kementerian Sumber Manusia dengan dibantu oleh enam lagi kementerian berkaitan dengan TVET.

Katanya, bagi inisiatif kedua, kerajaan akan memperuntukkan dana sebanyak RM50 juta daripada 30 peratus dana terkumpul Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) bagi tujuan TVET.

“Untuk makluman semua, Pembangunan Sumber Manusia Berhad atau PSMB telah memperuntukan 30 peratus daripada levi Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia sebagai dana terkumpul atau pool fund.

“Ia bagi melaksanakan program strategik sebagai satu usaha untuk menyokong pencapaian matlamat nasional dalam meningkatkan taraf peratusan pekerja mahir di Malaysia.

“Sejajar dengan aspirasi dan visi Transformasi Nasional 2050 atau TN50, tumpuan khusus akan diberikan kepada Industri 4.0, dalam usaha mewujudkan tenaga buruh yang berdaya saing di peringkat global,” katanya ketika merasmikan pelancaran TVET Malaysia di Pusat Latihan Tinggi (ADTEC), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Richard Riot; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Najib berkata, bagi menyokong Revolusi Industri 4.0, kerjasama juga diadakan dengan Pusat Pembangunan Kemahiran, politeknik, universiti dan Pertubuhan Majikan, membabitkan jumlah peruntukan sebanyak RM75 juta.

Pada masa sama, katanya, kerajaan juga akan mengkaji semula kadar dan caj berkaitan pemfailan harta intelek serta insentif yang sesuai bagi menggalakkan lebih banyak inovasi dihasilkan terutamanya melalui institusi TVET.

Terdahulu, Najib berkata, modal insan yang berkemahiran tinggi sangat penting dalam transformasi ekonomi negara dan ia berfungsi menutup jurang kemahiran yang dihadapi khususnya oleh industri.

Beliau berkata, dalam menuju sebuah negara maju berpendapatan tinggi, kerajaan komited menganjakkan sekurang-kurangnya lima lonjakan transformasi TVET.

Katanya, lonjakan pertama adalah untuk melatih dan meningkatkan tenaga mahir tempatan secara berterusan bagi me jadikan mereka kompetitif, berpeluang memiliki pekerjaan dan pendapatan yang lumayan serta menikmati taraf hidup yang lebih baik.

“Kini, jumlah mereka hampir 28 peratus dan disasarkan meningkat kepada 35 peratus menjelang tahun 2020.

“Melalui program pendidikan dan latihan yang dilaksanakan di institusi TVET, kerajaan berhasrat untuk melatih 300,000 rakyat Malaysia daripada golongan B40 dari tempoh sekarang sehingga tahun 2025.

“Kedua, memperkukuh dan memperhebatkan lagi kerjasama strategik Public-Private Partnership atau antara TVET Awam serta pihak industri, bagi membentuk sinergi terutamanya dalam membangunkan tenaga kerja berkemahiran.

“Ketiga, bagi lulusan bidang TVET, peluang kerjaya sebenarnya tidak hanya terhad untuk bekerja di dalam industri, malahan, lulusan TVET juga boleh menceburi bidang perniagaan, khususnya technopreneurship atau menjadi usahawan tekno dalam bidang teknikal,” katanya.

Najib berkata, kerajaan juga sudah memperuntukkan sejumlah RM20 juta melalui Bajet 2017 bagi tujuan Geran Padanan untuk program TVET berimpak tinggi serta menjenamakan semula Institusi TVET Melalui ‘TVET Malaysia’.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *