PEKAN, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemberian ‘duit raya’ kepada 33,864 pekebun kecil di seluruh negara menerusi pengagihan dividen berjumlah RM106.81 juta.

Sebanyak RM38.16 juta daripada jumlah itu diagihkan kepada 16,080 perserta Rancangan Tanam Baharu Berkelompok (RTBB), manakala RM68.64 juta lagi diagihkan kepada 17,784 peserta Tanam Semula Komersial (TSK).

Najib berkata pemberian dividen itu meningkat sebanyak RM12.2 juta berbanding RM94.5 juta pada tahun sebelumnya.

“Sebagai sebuah kerajaan kita tidak pernah berhenti mencari jalan bagimana hendak menjaga kebajikan rakyat khususnya mereka yang tinggal di luar bandar termasuk pekebun kecil yang diberi perhatian dan bantuan yang sewajarnya.

“Ini kerana masyarakat pekebun dan luar bandar ini merupakan teras kepada sokongan kerajaan Barisan Nasional (BN) hari ini,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian dividen Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) di Dewan Konvensyen Pekan, pada Sabtu.

Majlis turut dihadiri oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, timbalannya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Pengerusi Risda, Datuk Zahidi Zainal Abidin.

Najib berkata agenda pembangunan di luar bandar perlu diteruskan kerana kerajaan mahukan pembangunan negara dapat dijalankan secara adil dan saksama tanpa mengira kawasan bandar mahupun luar bandar, etnik serta umur.

“Salah satu ciri pembangunan di Malaysia yang tidak ada di negara lain ialah pembangunan di negara ini dilakukan secara seimbang dan saksama, berbeza dengan negara-negara lain di dunia yang kebanyakannya tertumpu hanya di kawasan ibu kota dan bandar sahaja.

“Di Malaysia pembangunan itu kita agihkan ke setiap ceruk di negara kita ini dan sedikit sebanyak ia dapat mengimbangi pembangunan yang dicapai di kawasan luar bandar.

“Walaupun mungkin tidak sama dengan kawasan bandar, namun sekurang-kurangnya jurang tidak jauh berbeza,” katanya.

Menurut Najib ,ekonomi dunia dan negara pada tahun ini berada di tahap yang lebih baik berbanding tahun lepas dan Malaysia sendiri pada suku pertama tahun ini mencatatkan kadar pertumbuhan ekonomi pada kadar 5.6 peratus, merupakan antara yang tertinggi di dunia.

“Harga komoditi pun sudah ada tanda pemulihan dan ini berlaku bukan sahaja disebabkan ekonomi dunia pada masa kini bertambah baik, tetapi juga disebabkan usaha yang dilakukan oleh kerajaan.

“Umpamanya semasa saya melawat negara China pada akhir tahun lalu, saya telah meminta supaya mereka menambah pembelian sawit dan baru-baru ini ketika saya melawat negara itu, pemimpin tertinggi republik itu telah memaklumkan kerana permintaan saya, mereka telah meningkatkan pembelian (sawit).

“Pembelian meningkat sebanyak 70 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas dan begitu juga semasa saya pergi ke India, saya juga telah minta mereka meningkatkan pembelian sawit,” katanya.

Katanya, hasil usaha yang dilakukan itu, katanya harga komoditi lain turut meningkat termasuk harga getah.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Najib turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,000 sempena Ramadan kepada lima masjid terpilih dalam kawasan Parlimen Pekan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *