Datuk Seri Najib Razak hari ini melancarkan infrastruktur siber jalur lebar berkelajuan tinggi 100 Gigabit sesaat (Gbps) Malaysian Research and Education Network (MYREN-X).

Pelancaran MREN-X, kesinambungan MYREN yang dilancarkan pada 2005 adalah untuk memenuhi keperluan pembelajaran dan penyelidikan secara lestari kepada institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).

MYREN pada permulaannya hanya menghubungkan 12 universiti awam (UA), kini meluaskan lagi rangkaian hubungan sehingga meliputi 150 institusi terdiri daripada 20 UA, universiti swasta (empat), Politeknik (31), Kolej Komuniti (85) dan masing-masing lima bagi hospital/fakulti perubatan dan agensi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Ia selaras pengumuman Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2017 yang mengumumkan kerajaan akan melaksanakan inisiatif meningkatkan kapasiti jalur lebar di UA kepada maksimum 100 Gbps bagi memastikan infrastruktur siber di semua IPTA setanding dengan negara maju.

Najib berkata, menerusi infrastruktur siber MYREN-X, ia bakal melonjakkan kapasiti capaian keseluruhan daripada 260 Gbps kepada 3,200 Gbps atau 3.2 Terabits sesaat dan meningkatkan keupayaan penyimpanan data berskala besar serta keupayaan pemprosesan berkeupayaan tinggi.

Katanya, MYREN-X dijangka akan dapat memacu kecemerlangan penyelidikan dan pendidikan masa depan negara antaranya melalui Penyelidikan Terkehadapan menerusi kolaborasi dengan penyelidik seluruh dunia sebagai usaha untuk menghasilkan saintis negara bertaraf Nobel Laureate.

MYREN-X juga, katanya bakal mentransformasikan Pendidikan Tinggi Negara bercirikan Pendidikan Abad Ke-21 serta bercirikan UBIQUITOUS yakni pembelajaran bersifat di mana saja dan pada bila-bila masa yang mampu melahirkan sumber tenaga kerja yang kompetitif dan memenuhi keperluan pekerjaan masa depan.

Beliau menyambut baik usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) atas inisiatif penubuhan sebuah konsortium terdiri daripada semua 20 UA dinamakan MYREN Network Sdn Bhd (MNSB) diterajui Universiti Teknologi MARA menerusi UiTM Holdings Sdn Bhd berlandaskan semangat kesepakatan dan kekitaan.

“Saya yakin MYREN-X bukan saja akan mempunyai infrastruktur siber yang moden serta serba canggih, bahkan dapat mewujudkan satu ekosistem penyelidikan dan pendidikan yang semakin meluas serta bercitra baharu, seterusnya berupaya menyumbang kepada negara mahupun di peringkat antarabangsa,” katanya pada majlis pelancaran di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Inisiatif MYREN-X akan melengkapkan infrastruktur siber negara khusus bagi menyokong Lonjakan Ke-7 (Ekosistem Inovasi) dan Lonjakan Ke-9 (Pembelajaran Dalam Talian Tahap Global) di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).

MYREN-X akan melonjak pelaksanaan program Massive Open Online Courses (MOOC), JukeBox, Purata Nilai Gred Kumulatif Bersepadu (iCGPA), 2 years University-2 years Industry (2u2i) yang dilaksanakan di negara ini di bawah inisiatif ‘Redesigning Higher Education’.

MYREN-X bukan saja akan membolehkan rakyat Malaysia mengakses pendidikan di luar negara secara dalam talian, bahkan membolehkan rakyat luar negara mengakses pendidikan di negara ini.

Perdana Menteri berkata, MYREN tidak mencukupi untuk menampung aktiviti penyelidikan dan pendidikan pada tahap seperti universiti yang berada pada kedudukan 50 teratas di dunia serta setara dengan infrastruktur siber yang dinikmati negara maju.

Beliau berkata, keadaan itu mengakibatkan penyelidik dan pendidik masih terbatas dan ketinggalan dalam pelbagai bidang khususnya menghasilkan kajian berimpak tinggi.

“Apatah lagi kita sedang dalam persediaan dan perjalanan untuk menghadapi Revolusi Perindustrian Keempat atau IR 4.0 dan era Ekonomi Digital yang memerlukan infrastruktur siber yang mampu memudahkan akses, kolaborasi dan capaian kepada maklumat dengan lebih pantas serta berkesan terutama bagi tujuan penyelidikan dan pendidikan,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *