KUALA NERUS, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kini giat melakukan pelbagai latihan persediaan menghadapi banjir di Terengganu, melibatkan 100 pegawai daripada pelbagai jabatan di negeri ini.

Ketua Pengarah NADMA, Datuk Abdul Rashid Harun berkata mengikut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia, banjir di Pantai Timur dijangka bermula pertengahan November susulan Monsun Timur Laut.

“Sehubungan itu, NADMA mengorak langkah mengadakan program-program kesiapsiagaan berkaitan persiapan pengurusan bencana dan Terengganu negeri pertama yang memulakan latihan ini.

“Minggu depan kami akan adakan di Kelantan dan akan dibuat di semua negeri. Kami kumpulkan semua pegawai daerah, ketua polis daerah, pegawai Jabatan Pendidikan, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk tahu apa kesiapsiagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup latihan itu di kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Kubang Badak di sini pada Rabu.

Latihan dua hari itu bertujuan mengetahui persiapan serta pelan kecemasan dan aset yang dimiliki agensi di setiap daerah bagi memudahkan penyelarasan ketika bencana banjir berlaku.

Abdul Rashid berkata sepanjang latihan itu juga, peserta didedahkan dengan tiga senario bencana yang berkemungkinan berlaku pada akhir tahun ini.

“Saya sangat berpuas hati dengan tahap kesiapsiagaan semua agensi di lapan daerah di Terengganu ini. Kami berharap hubungan erat semua agensi ini akan melancarkan semua urusan ketika bencana berlaku.

“NADMA juga mengambil kesempatan ini untuk memperkenalkan pegawai kami yang akan bertugas mengikut zon. Mereka yang dikenali sebagai pasukan sokongan kecemasan NADMA ini akan sentiasa turun padang sebelum, semasa dan pasca banjir untuk tujuan penyelarasan pelbagai urusan di lokasi bencana,” katanya.

Ditanya mengenai risiko banjir kali ini, beliau berkata NADMA akan memantau kejadian air pasang yang dijangka berlaku selama tiga bulan bermula Oktober hingga Disember depan.

“Kami risaukan pertembungan dengan air hujan yang turun dari hulu (pedalaman) kerana musim Monsun Timur Laut ini, taburan hujan adalah banyak. Sekiranya air ini tidak dapat mengalir dengan baik susulan air pasang, kami risau banjir berlaku di kawasan hiliran. Kami akan memantau dan melakukan yang terbaik untuk atasi masalah ini,” katanya.

Selain itu, beliau berkata NADMA juga mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menjadi sebahagian rakan strategik NADMA bagi memudahkan pengagihan bantuan kepada mangsa banjir.

“Semalam, kira-kira 100 sukarelawan daripada NGO sekitar Terengganu hadir mendengar sendiri taklimat pengurusan bencana banjir ini dan ramai lagi akan bersama kami dalam masa terdekat ini,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *