Presidennya, Tan Sri M. Kayveas berkata, keputusan berkenaan dilakukan selepas menerima surat rasmi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) semalam, yang mengesahkan beliau masih bergelar Presiden MyPPP yang sah.

Jelas beliau, hal ini sekali gus menamatkan segala dakwaan dan cubaan pengambilalihan kuasa yang dilakukan beberapa kepemimpinan tertinggi parti yang membawa kepada pemecatannya bulan lalu.

“Kemelut ini bermula pada 17 April lalu apabila saya sepatutnya mengumumkan MyPPP keluar daripada BN, namun dihalang berbuat demikian sekali gus terdapat cubaan pengambilalihan kuasa.

“Justeru, kami tidak akan berganjak dengan keputusan yang dilakukan pada 17 April itu, malah laman web BN juga telah memadamkan nama saya sebagai Presiden yang sah, bertentangan dengan peraturan ROS.

“Maka, hubungan MyPPP dengan BN telah pun berakhir manakala tujuh kepemimpinan tertinggi parti yang terlibat dalam cubaan pengambilalihan kuasa itu telah dilucutkan keahlian serta-merta,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma MyPPP di sini hari ini.