Kerajaan Myanmar gagal mematuhi tanggungjawab antarabangsa dan melindungi etnik Islam Rohingya daripada kekejaman di Rakhine, kata dua penasihat khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.

Kenyataan daripada penasihat PBB mengenai pencegahan pembunuhan beramai-ramai, Adama Dieng, dan penasihat khas mengenai tanggungjawab melindungi, Ivan Simonovic, menegaskan masyarakat antarabangsa juga gagal bertindak terhadap krisis itu.

“Di sebalik amaran kami dan ramai pegawai lain, kerajaan Myanmar gagal mematuhi tanggungjawab bersandarkan undang-undang antarabangsa dan tanggungjawab utama melindungi penduduk Rohingya daripada kekejaman.

“Masyarakat antarabangsa juga gagal bertanggungjawab atas perkara ini,” menurut kenyataan bersama itu.

Sejak Ogos lalu, lebih 500,000 penduduk Rohingya melarikan diri daripada kempen tentera di Rakhine yang disifatkan PBB sebagai pembersihan etnik.

Majlis Keselamatan PBB (UNSC) menggesa Myanmar menamatkan operasi tentera di Rakhine, memberi akses kepada pekerja bantuan dan membenarkan pelarian Rohingya kembali dengan selamat.

UNSC bagaimanapun tidak melakukan susulan dengan tindakan seperti mengenakan sekatan, langkah yang dibantah China dan Russia. – AFP

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *