Majlis Perundingan Islam (MPI) hari ini menyarankan parti politik supaya bersama-sama dalam satu persefahaman ke arah membentuk kesepaduan ummah.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi MPI, berkata dalam menghadapi cabaran semasa, parti politik harus berada dalam ‘acuan yang sama’ atas kepentingan Islam tanpa merendahkan agama lain.

Beliau berkata walaupun berat, perkara itu boleh dilakukan sekiranya kesedaran mengenai kepentingan penyatuan sesama Islam diberi keutamaan, bukannya latar belakang politik.

“Sudah tiba masanya untuk penyatuan ini dilakukan…tetapi tidak semestinya hanya dalam bentuk tahaluf siyasi atau kerjasama politik.

“Sebaliknya, ia juga boleh dilakukan dalam bentuk persefahaman dan pemahaman terhadap tugas dan bidang masing-masing dengan cara haruslah tidak mengetepikan asas utama iaitu ke arah penyatuan ummah keseluruhannya,” kata beliau pada sidang media selepas menghadiri lab kluster MPI di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata kenyataannya itu adalah sebahagian daripada saranan perbincangan oleh Kluster Politik iaitu satu daripada tujuh kluster yang membentangkan pandangan pada makmal tersebut.

Kluster lain yang terlibat dalam perbincangan tersebut ialah Kluster Dakwah, Ekonomi, Pendidikan, Sosial, Perundangan Islam dan Pemikiran Islam, katanya.

Beliau berkata beberapa saranan boleh diperincikan kerajaan seperti Kluster Ekonomi yang mengemukakan supaya tumpuan diberikan kepada soal wakaf korporat dan kepentingan membangunkan Sistem Pengauditan Halal Global.

Ahmad Zahid berkata saranan Kluster Perundangan Islam supaya falsafah perundangan Islam harus diwujudkan selaras dengan sistem perundangan sedia ada juga menarik diberi perhatian, selain cadangan supaya peranan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) diperkukuhkan dengan memasukkan beberapa tokoh baharu menggantikan tokoh sedia ada.

Katanya, beliau juga teruja dengan pandangan beberapa tokoh Kluster Pemikiran Islam bahawa agama Islam perlu dilihat dengan imej kelembutan dan toleransi, bukannya imej yang menimbulkan Islamophobia dalam kalangan bukan Islam.

Ahmad Zahid berkata Kluster Pendidikan pula menyarankan supaya pemikiran dan pendekatan baharu perlu diguna dalam pendidikan Islam, khususnya pendidikan kerohanian bukannya lagi tertumpu kepada pendidikan formal secara konvensional seperti ketika ini.

Sementara perbincangan Kluster Sosial pula melihat gejala sosial sebagai sesuatu yang harus diatasi segera dan untuk itu mereka mahu beberapa saranan yang dikemukakan dapat dijadikan sebagai sebahagian daripada dasar Majlis Tindakan Sosial Negara untuk dilaksanakan, katanya.

Mengenai Kluster Dakwah, Ahmad Zahid berkata walaupun tanpa kehadiran pengerusinya Datuk Dr Haron Din yang masih dirawat di Institut Jantung Negara (IJN), kluster itu tetap menyumbang beberapa sumbang saran bagi dilaksanakan kerajaan dan agensi berkaitan.

MPI yang dianggotai tokoh dari pelbagai latar belakang meliputi tokoh agama, ahli akademik, tokoh korporat dan pemimpin badan bukan kerajaan, berperanan sebagai kumpulan pemikir bagi membantu kerajaan dalam memberi idea dan cadangan ke arah melaksanakan agenda pembangunan negara menurut landasan syarak.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *