Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berhasrat melahirkan sekurang-kurangnya dua vendor bertaraf jaguh nasional, serantau dan antarabangsa pada setiap tahun.

Menterinya Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata MITI turut menyasarkan 40 syarikat baharu untuk menyertai Program Pembangunan Vendor (PPV) Bumiputera bagi memastikan negara mempunyai vendor-vendor berkualiti yang bertaraf antarabangsa dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-11.

“Kita letakkan satu sasaran kualitatif dan satu kuantitatif. Kualitatif bermakna sasaran kita untuk memastikan kualiti produk-produk dihasilkan oleh syarikat-syarikat teraju ini adalah setara dengan kualiti syarikat-syarikat ternama luar negara.

“Kita juga ingin melihat lebih banyak lagi vendor iaitu dengan pertambahan sebanyak 40 vendor bagi setiap tahun,”kata beliau dalam temubual eksklusif bersama portal berita, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata sehingga Julai 2017, seramai 1,440 vendor menyertai PPV menerusi 21 syarikat teraju.

Beliau berkata bagi memperkasakan program berkenaan, MITI telah melaksanakan beberapa aktiviti sokongan seperti sesi padanan perniagaan menerusi program GLC ExplorAce.

“Ia satu program untuk kita mengetengahkan dan mempamerkan produk-produk keluaran vendor bagi memberi semangat dan dorongan kepada pihak-pihak lain,” katanya.

Mustapa berkata, program ExplorAce yang dianjurkan bersama UEM dan Sime Darby itu juga telah memasuki tahun kelima penganjurannya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *