Mesyuarat khas Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) dijangka diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada 3 Januari ini, dipercayai bagi membincangkan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beberapa pemimpin parti komponen BN, termasuk di Sabah dan Sarawak ketika dihubungi malam tadi, mengesahkan mengenai tarikh mesyuarat itu yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Ya, ada,” kata Timbalan Presiden GERAKAN, Datuk Dr Cheah Soon Hai ketika dihubungi bagi mengesahkan mesyuarat itu, tetapi enggan mengulas lanjut.

Sumber Parti Bersatu Sabah (PBS) juga mengesahkan menerima jemputan untuk menghadiri mesyuarat khas itu, namun enggan mengulas lanjut apa yang akan dibincangkan.

“Ya, …memang betul ada jemputan untuk menghadiri mesyuarat tertinggi BN dan saya pasti ia juga diterima parti komponen lain dari Sabah,” katanya.

Perkembangan terbaru itu menguatkan lagi spekulasi berhubung PRU-14 diadakan pada awal tahun depan, dengan Parlimen dijangka dibubarkan selepas sambutan Tahun Baharu Cina yang disambut pada pertengahan Februari.

Amat jarang BN mengadakan mesyuarat khas kecuali bagi membincangkan PRU-14. Semua 13 parti komponen adalah ahli Dewan Tertinggi BN.

Najib ketika menyampaikan amanatnya pada satu majlis tertutup sempena Perhimpunan Agung UMNO pada awal bulan ini menjelaskan UMNO dan BN sudah bersedia menghadapi PRU-14.

 

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *