Kualiti dasar pendidikan negara khususnya universiti tempatan setaraf dengan tahap pendidikan universiti luar negara, tegas Menteri Pendidikan.

Jika tidak, kata Datuk Seri Mahdzir Khalid, mana mungkin universiti tempatan negara mampu menghasilkan tenaga kerja profesional seperti doktor, peguam dan guru.

“Sedangkan ahli politik kita pun ‘lahir’ dari universiti tempatan. Kebanyakan doktor pakar di hospital kita pun mendapat pendidikan di universiti tempatan negara.

“Kita ada tahap penilaian tersendiri terhadap sistem pendidikan kita.  Universiti kita mendapat tempat di dunia. Taraf pencapaian universiti kita tinggi dan kita duduk dalam kedudukan yang baik,” katanya.

Seorang profesor dari Universiti Harvard, Amerika Syarikat mendakwa, kualiti lepasan ijazah di Malaysia dan Indonesia setaraf dengan pelajar sekolah menengah di Denmark.

Prof Lant Pritchett yang sebelum ini melakukan kajian pendidikan di Indonesia berkata, terdapat persamaan kelemahan di kalangan graduan kedua-dua negara.

Difahamkan, kajian dilakukan ke atas graduan di Indonesia dari segi tahap celik, pemikiran kreatif dan aspek lain.

Hasilnya sama dengan pelajar tercicir di peringkat sekolah menengah rendah di Denmark dan pelajar Malaysia.

Menyifatkan kenyataan profesor itu sebagai penghinaan kepada sistem pendidikan negara, Mahdzir berkata, Pritchett tidak boleh menilai sistem pendidikan negara secara keseluruhan.

“Mana boleh profesor di universiti ternama dunia boleh menghina negara lain sebegitu? Beliau perlu lihat sistem pendidikan secara keseluruhan. Kita ada sistem pendidikan yang diubah suai mengikut kesesuaian di negara kita. Kita ada penilaian standard dan asas penilaian yang dijalankan adalah berdasarkan taksiran daripada negara lain.

“Kementerian sudah pun menggariskan kurikulum sedia ada, sesuai dengan tahap pembelajaran pelajar. Kita ubah suai dasar dan tahap pendidikan negara mengikut kesesuaian pelajar,” katanya lagi.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *