Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyiasat 67 kes penyebaran berita palsu dalam media sosial dari Januari hingga September tahun ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata daripada jumlah itu, lima kes telah dibawa ke mahkamah.

“Dalam tempoh sama, sejumlah 1,861 laman sesawang, portal dan blog telah disekat kerana menyebarkan kandungan, maklumat serta berita berunsur palsu termasuk yang boleh mencetuskan kekeliruan dan menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini,” katanya ketika sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) yang mahu mengetahui langkah proaktif kementerian dalam memastikan kandungan berita dilaporkan portal berita tidak menjejaskan ketenteraman awam dan sensitiviti kaum di negara ini.

Mengulas lanjut, Salleh berkata kementerian telah bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam menjalankan program advokasi bagi menyedarkan masyarakat umum mengenai pentingnya memastikan fakta sahih sebelum menyebarkan sesuatu berita atau maklumat.

Katanya ia termasuk pelancaran portal Sebenarnya.my.

“Sejak pelancarannya pada Mac lalu, portal Sebenarnya.my yang menggunakan tagline Tidak Pasti Jangan Kongsi ini telah menerima 12.75 juta layaran daripada pengguna. Kita berharap orang ramai dapat menyemak maklumat di portal ini sebelum menyebarkan sesuatu berita atau maklumat,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *