Share on Facebook

KOTA BHARU, Sembilan daerah di negeri ini terus ‘menangis’ apabila hujan lebat melanda hingga menyebabkan 7,270 orang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Seramai 2,313 keluarga berkenaan ditempatkan di 91 PPS di Kota Bharu, Pasir Puteh, Pasir Mas, Tanah Merah, Bachok, Kuala Krai, Jeli, Tumpat dan Machang.

Berdasarkan aplikasi eBanjir, Pasir Mas menunjukkan peningkatan ketara dan mencatat mangsa banjir paling tinggi membabitkan 2,963 orang daripada 1,145 keluarga ditempatkan di 34 PPS berbanding 1,649 daripada 585 keluarga, malam tadi.

Ia diikuti Kota Bharu dengan rekod seramai 1,291 mangsa membabitkan 321 keluarga yang ditempatkan di 13 PPS.

Pasir Puteh turut menunjukkan peningkatan apabila sehingga kini seramai 702 mangsa daripada 213 keluarga ditempatkan di tujuh PPS berbanding 589 mangsa daripada 185 keluarga, malam tadi.

PPS pertama turut dibuka di Tumpat iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kebakat pada jam 11 malam tadi bagi menempatkan 28 mangsa banjir daripada enam keluarga.

Jumlah mangsa banjir dan pusat pemindahan dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa memandangkan cuaca hujan lebat yang berterusan.

Sementara itu, dua sungai iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang dan Sungai Golok di Kuala Jambu terus menunjukkan peningkatan paras bahaya yang masing-masing kepada 10.56 meter dan 2.86 meter.

Bagi Sungai Golok di Jenob pula menunjukkan penurunan apabila kini berada di paras amaran berbanding malam tadi pada paras bahaya, manakala Sungai Kelantan di dua lagi iaitu Sungai Galas di Limau Kasturi dan Sungai Lebir di Tualang bertukar ke bawah paras normal, berbanding malam tadi paras berjaga-jaga.

Tiga sungai iaitu, Sungai Kelantan di Kuala Krai, Sungai Kelantan di Kusial dan Sungai Galas di Dabong kekal berada pada paras amaran.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *