Manchester City tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara selepas tewas 3-1 kepada Monaco pada kelompok 16 terakhir di Stade Louis II, awal pagi Khamis.

Tandukan Tiemoue Bakayoko pada minit ke-77 mengesahkan kemaraan Monaco ke suku akhir menerusi kelebihan gol di tempat lawan selepas menang dengan agregat 6-6.

Ketinggalan selepas tewas 5-3 di Etihad pada aksi terdahulu, gol pada babak pertama sumbangan pemain muda, Kylian Mbappe dan Fabinho meletakkan Monaco selesa mendahului pada aksi timbal balik.

Gol pada minit ke-71 Leroy Sane kembali memberi kelebihan kepada City dengan keputusan 6-5 menerusi agregat.

 Namun Bakayoko mengembalikan kelebihan tuan rumah selepas menyempurnakan sepakan percuma Thomas Lemar ketika perlawanan berbaki 13 minit.

Pengurus City, Pep Guardiola meluahkan rasa kecewa selepas anak buahnya gagal mengambil peluang di depan pintu gawang Monaco menyebabkan mereka tersingkir daripada aksi Liga Juara-Juara.

“Kami mempamerkan aksi luar biasa pada babak kedua tetapi kami terlupa untuk berbuat demikian pada babak pertama. Kami mahu bertahan secara agresif. Kami lebih baik pada babak kedua tapi ia masih tidak cukup.

“Kebiasaannya kami beraksi pada tahap terbaik tetapi di sini ia tidak berlaku. Kami akan belajar. Pasukan tidak mempunyai banyak pengalaman. Ada kalanya kami perlu menjadi istimewa dan bernasib baik tapi tidak kali ini,” katanya.

 

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *