Malaysia tetap meneruskan hubungan diplomatik dengan kerajaan Korea Utara dan tidak akan bertindak menutup kedutaan di negara itu, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata Malaysia juga berharap Pyongyang mengambil tindakan sama.

“Kita tidak berhasrat untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Korea Utara dan kita harap Korea Utara akan turut melakukan tindakan yang sama,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan MCPF kali ke-24 di sini, Sabtu.

Turut hadir, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang juga Timbalan Pengerusi MCPF dan Naib Pengerusi Kanan MCPF Tan Sri Lee Lam Thye.

Ketegangan hubungan diplomatik antara Malaysia-Korea Utara kini dilihat semakin reda apabila sembilan rakyat Malaysia yang sebelum ini dihalang daripada meninggalkan Korea Utara susulan perbalahan diplomatik Kuala Lumpur-Pyongyang, selamat tiba di tanah air pada Jumaat.

Ketegangan antara dua negara itu tercetus susulan pembunuhan Kim Jong-nam, 46, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) di sini pada 13 Feb.

Selain itu, Ahmad Zahid turut menjelaskan Malaysia tidak melakukan pertukaran dalam menyelamatkan sembilan rakyat Malaysia di Pyongyang itu tempoh hari, sebaliknya ia berdasarkan persefahaman dicapai dua negara.

Mengenai status warga Korea Utara yang berada di Malaysia, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kerajaan telah membenarkan mereka untuk pulang ke Pyongyang.

Bagaimanapun, rakyat Korea Utara lain yang masih berada di negara ini tetap tertakluk kepada peraturan-peraturan mengikut Akta Imigresen, katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *