Malaysia tidak lagi menganjurkan perlumbaan Formula Satu (F1) selepas kerajaan bersetuju menamatkan kontrak penganjuran mulai tahun depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kontrak itu terpaksa ditamatkan berikutan pulangan menurun yang semakin ketara kepada negara berbanding kos penganjuran sejak 1999.

“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira laporan dan pandangan daripada Sepang International Circuit (SIC) mengenai impak kewangan acara F1 ini kepada semua pihak berkepentingan.

“Kerajaan terpaksa menanggung kos penganjuran yang sangat tinggi setiap tahun. Namun begitu, pulangan daripada menganjurkan kejohanan ini semakin berkurangan dari segi penonton, pengunjung dan jumlah kedatangan pelancong asing semasa perlumbaan berlangsung sejak beberapa tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata pada peringkat awal penganjurannya, F1 dapat mempromosikan negara sebagai destinasi bagi acara sukan bertaraf dunia selain mempromosi negara sebagai destinasi pilihan pelancong global.

“Pada tahun 1999, hanya 16 buah negara menjadi tuan rumah kepada perlumbaan berprestij termasuk dua negara Asia tetapi ia kini telah meningkat kepada 21 buah negara dengan enam negara Asia sekaligus mengakibatkan penurunan pulangan kepada penganjur dan negara,” katanya.

Najib berkata penamatan penganjuran ini akan membolehkan kerajaan meningkatkan pembiayaan dalam sukan permotoran bagi pembangunan bakat, infrastruktur, pemindahan kemahiran dan pengetahuan.

Katanya kerajaan akan menggunakan peruntukan yang ada bagi kegunaan perlumbaan lain seperti MotoGP dan Go-Kart; membina litar perlumbaan khas di Sungai Petani, Kedah; menaik taraf kemudahan di SIC dan membantu pemandu profesional negara menjadi pemandu F1.

“Litar Sepang akan terus memainkan peranan penting dalam usaha kita mempromosi Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Ia akan terus menjadi tuan rumah kepada acara sukan permotoran utama seperti MotoGP dan banyak lagi perlumbaan bertaraf nasional, serantau dan antarabangsa yang akan terus menarik pengunjung ke Malaysia,” katanya.

Sementara itu, perdana menteri berkata Petronas akan meneruskan penajaan ke atas pasukan Mercedes AMG Petronas dalam perlumbaan F1 sebagai strategi pemasaran syarikat berkenaan.

Najib berkata kerajaan sedia maklum dan mengakui sokongan yang telah diberikan oleh Formula One Management (FOM) sepanjang penganjuran perlumbaan itu di negara ini sejak 19 tahun lepas.

“Saya juga ingin menzahirkan setinggi penghargaan atas persefahaman serta persetujuan FOM yang bersetuju perlumbaan F1 2017 di Sepang menjadi perlumbaan terakhir di litar tersebut,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *