KUALA LUMPUR, Jawatankuasa Bersama Malaysia dan Singapura Mengenai Maklumat dan Komunikasi bermesyuarat di sini hari ini bagi membincangkan tentang usaha meningkatkan kerjasama kedua-dua negara dalam bidang maklumat, komunikasi dan media.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia dalam satu kenyataan berkata mesyuarat dua hari itu dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Tetap Kementerian Komunikasi dan Maklumat Singapura Gabriel Lim dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad.

“Pada mesyuarat itu, para pegawai dari Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Kementerian Komunikasi dan Maklumat Singapura akan membincangkan bidang kerjasama dalam penerbitan filem dan televisyen, pembangunan maklumat komunikasi dan media, pertukaran berita, teknologi digital dan komunikasi kerajaan,” kata kementerian itu.

Malaysia dan Singapura menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) tahun lepas bagi meningkatkan lagi kerjasama dua hala dalam bidang berkaitan.

Bersempena dengan mesyuarat itu, Singapura akan menjadi hos program Muzika Ekstravaganza (Muzika) malam esok. Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Menteri Komunikasi dan Maklumat Singapura Dr Yaacob Ibrahim akan menjadi tetamu kehormat pada program penerbitan bersama acara tahunan itu.

Program Muzika yang memasuki tahun ke-11 itu diterbitkan bersama oleh Radio Television Malaysia (RTM) dan Mediacorp Singapura . Program ini menekankan kepada hubungan dan kerjasama yang rapat di kalangan para pegawai, penyiar dan artis kedua-dua buah negara.

Program itu bertemakan Cinta dan Muzik dan audiens akan dapat menyaksikan persembahan yang gilang gemilang. Muzika akan disiarkan serentak melalui TV2 RTM dan Mediacorp Suria mulai 9 malam.

“Muzika mempamerkan hubungan erat yang terjalin di antara Malaysia dan Singapura dalam bidang maklumat, komunikasi dan media,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Dr Sharifah Zarah berkata adalah menjadi harapan supaya hasil konsultasi ini bukan sahaja akan membolehkan agensi lebih besar bekerjasama dalam bidang maklumat dan komunikasi malah ia menyediakan satu pelan tindakan untuk dilaksanakan secara cepat dan cekap serta berjaya menterjemahkan objektif-objektif MoU dalam kerjasama yang berkembang secara terus menerus.

Sementara itu, Lim berkata adalah menjadi harapan agar jawatankuasa itu akan bertindak sebagai platform yang bernilai bagi memacu kerjasama dua hala dalam kedua-dua bidang.

Beliau berkata pembangunan transformasi digital kedua-dua negara akan membawa lebih banyak peluang yang menarik dan juga mengukuhkan kerjasama dalam isu-isu yang sama seperti keselamatan siber dan literasi digital.

?Melalui Jawatankuasa Bersama ini, kita dapat berkongsi pengalaman, membangunkan perkongsian baharu dan belajar di antara satu sama lain dan dengan berbuat demikian, ia meningkatkan lagi hubungan baik di antara Malaysia dan Singapura,? kata Lim.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *