Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia sedia beri kerjasama kepada kerajaan India untuk membantu siasatan terhadap penceramah bebas, Dr Zakir Naik berkaitan dakwaan hasutan keganasan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Malaysia sedia bekerjasama seandainya ada permintaan daripada pihak berkuasa India.

“Ini bukan soal menyerahkan dia (Zakir) tapi soal siasatan (berhubung dakwaan keganasan). Kita ikut sistem undang-undang dan rangka hubungan diplomatik dengan negara berkaitan.

“Malah siasatan tidak boleh dibuat pihak Malaysia tetapi oleh negara yang membuat dakwaan mahu siasatan dilakukan, tetapi bantuan perundangan bersama (MLA) boleh diperoleh jika negara itu mempunyai hubungan dengan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Ekologi Manusia Antarabangsa anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.

Baru-baru ini Agensi Siasatan Kebangsaan India (NIA) memutuskan untuk mendapatkan notis interpol terhadap Zakir bagi menghalang pergerakannya keluar dari Arab Saudi selepas ingkar saman berulang kali terhadapnya agar satu siasatan dibuat terhadapnya.

Zakir didakwa menghasut golongan muda Islam untuk terbabit dalam keganasan, dan menganjurkan permusuhan antara masyarakat berasaskan agama dan kaum. Selain itu Ahmad Zahid turut mengesahkan bahawa Zakir bukan warga negara Malaysia, hanya berstatus penduduk tetap sejak lebih lima tahun lalu.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *