Share on Facebook

KUALA LUMPUR, Malaysia perlu membangunkan pelan hala tuju dan rangka kerjanya sendiri bagi revolusi perindustrian keempat (Industri 4.0) untuk merangsang kerjasama dengan negara maju dalam industri inovasi.

Prof Dr Holger Kohl, Pengarah Pengurusan Korporat di Fraunhofer Institute for Production Systems and Design Technology, berkata Malaysia perlu bekerjasama dengan negara-negara maju untuk mengguna pakai teknologi Industri 4.0 yang sesuai.

“China dan Jerman telah menjalin kerjasama khusus dalam industri berasaskan inovasi dan pengetahuan, dipacu terutamanya daripada Industri 4.0 Jerman dan dasar Made-in-China 2025 China.

“Terdapat kumpulan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) bersama antara China dan Jerman yang membangunkan standard bagi pembuatan kepintaran,” dipetik sebagai berkata.

Di China, terdapat keperluan untuk menekankan kepada inovasi kerana peningkatan kos buruh akan mengekang daya saing di samping negara itu berusaha menjayakan dasar Made-in-China 2025, kata Kohl, sambil menambah China telah menetapkan matlamat untuk mencapai objektif-objektif ini.

Beliau berkata Industri 4.0 Jerman membolehkan pembuatan khusus berdasarkan kepada keperluan pengguna individu.

“Bagi Malaysia, negara ini perlu mempunyai pendekatan individu berasaskan tahap industri pada ketika ini.

“Ini kerana Malaysia mempunyai kelebihan kompetitif khusus dari segi sumber alam semula jadi dan teknologi pembuatan kepintaran, yang boleh digunakan dalam bidang ini untuk meningkatkan lagi daya saing produk,” katanya.

Kohl berkata tidak ada keperluan untuk mengguna pakai sepenuhnya Industri 4.0 kerana dalam sesetengah proses, beberapa instrumen atau automasi tradisional masih relevan dalam meningkatkan produktiviti dan daya saing.

Bagaimanapun, dalam bahagian produk individu dibuat khusus yang dikilangkan, barulah Industri 4.0 atau pembuatan kepintaran akan relevan, katanya.

Beliau berkata Jerman telah melalui perjalanan yang panjang ke arah Industri 4.0 apabila setiap syarikatnya melalui tahap transformasi berbeza.

“Industri 4.0 adalah satu revolusi akan datang. Pembangunan baharu termasuklah pengkomputeran awan perindustrian untuk mengawal proses pembuatan,” katanya.

Menurut Kohl, meskipun terdapat aplikasi kecil dalam pembuatan kepintaran, integrasi penuh dan lengkap dalam Industri 4.0, terutamanya dalam penggunaan teknologi awan untuk mengawal pengeluaran, akan mengambil sedikit masa kerana ia kebanyakannya masih di peringkat R&D.

“Satu lagi pembangunan paling penting dalam 4.0 adalah peranti yang membolehkan komunikasi antara objek berbeza,” katanya.

Teknologi ini, jelasnya, akan membolehkan komunikasi antara mesin, manusia, produk yang menyusun proses pembuatan.

“Jerman sedang memacu gelombang pembangunan teknologi baharu ini daripada peringkat kerajaan hingga ke industri. Kerajaan membentuk program khusus bersama dengan industri di peringkat R&D,” katanya.

Beliau berkata penggunaan pakai Industri 4.0 juga akan mengubah suasana pekerjaan kerana ia akan membolehkan jam bekerja yang lebih anjal.

Di Jerman, katanya, terdapat program R&D yang amat besar, menumpukan kepada produk dan perkhidmatan baharu, serta model perniagaan berasaskan peluang dalam Industri 4.0.

“Organisasi penyelidikan seperti Fraunhofer bekerjasama dengan industri dalam pembangunan teknologi baharu.

“Fraunhofer, sebagai organisasi penyelidikan gunaan utama dan terbesar di Eropah, berusaha untuk menumpukan kepada bahagian dalam pembangunan Internet of Things, platform ruang data perindustrian dan platform di mana industri boleh bekerjasama untuk bertukar-tukar data,” katanya.

Di Malaysia, katanya, Fraunhofer melakukan banyak projek penyelidikan bioteknologi dan biofuel.

Kohl menegaskan perlu ada pembangunan standard global dalam Industri 4.0, terutamanya dalam bidang Internet of Things, pertukaran data dan keselamatan.

Perbincangan sedang diadakan bagi menyelaraskan sistem berbeza di seluruh dunia dalam kalangan institut sains dan teknologi dan pemain penyelidikan dan pembangunan di Amerika Syarikat dan Eropah, katanya.

BERNAMA

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *