KUALA LUMPUR, Malaysia memanfaatkan penyertaannya dalam World Travel Mart (WTM) 2017 di London untuk mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2020 selain meraih keyakinan pemain industri dalam usaha meningkatkan penembusan pasaran United Kingdom (UK) dan Eropah.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata ini seiring dengan sasaran negara untuk menarik 36 juta pelawat.

“Malaysia berhasrat meningkatkan kemasukan dari pasaran UK dan Eropah menerusi kerjasama dengan syarikat penerbangan seperti Singapore Airlines, Etihad Airways, Emirates, Qatar Airways dan KLM Royal Dutch Airlines,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamed Nazri berkata pembangunan industri pelancongan Malaysia termasuk siapnya sistem pengangkutan Transit Aliran Massa menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020 turut mencerminkan kesungguhan hasrat Malaysia untuk berkembang dan menjadi destinasi pelancongan utama.

Ini juga memberi jaminan kepada pemain industri di London akan komitmen Malaysia terhadap pertumbuhan sektor pelancongan, katanya.

WTM 2017 berlangsung dari 6 hingga 8 Nov dan delegasi Malaysia diwakili 130 peserta yang diketuai oleh Mohamed Nazri.

Ini merupakan tahun ke-34 Malaysia menyertai pameran perdagangan pelancongan itu, menunjukkan komitmen Malaysia dalam memperkukuh kedudukan di pasaran UK dan Eropah.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *