Malaysia akan mengkaji permintaan India bagi mengadakan program pemindahan banduan antarabangsa dengan negaranya, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata sebelum ini, perkara itu telah dibincangkan di peringkat pegawai-pegawai kanan kerajaan, dan ia akan  diteliti dengan terperinci di peringkat lebih tinggi.

“Kami akan meneliti permintaan ini pada masa yang sesuai. Ia memerlukan kelulusan daripada Pejabat Peguam Negara kami,” katanya kepada media Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja tiga hari beliau ke India di sini pada Isnin.

Menurutnya Malaysia mengadakan program pemindahan banduan dengan negara-negara seperti Azerbaijan, Bulgaria, Iran, Iraq, Latvia, Filipina, Arab Saudi, Korea Selatan dan Turki.

Bagi membolehkan program sama dilaksanakan dengan India, beliau berkata syarat dan peraturan tertentu mengikut amalan antarabangsa haruslah dipatuhi.

Beliau berkata antara lain, program pemindahan banduan antarabangsa hanya boleh dijalankan dengan negara yang mempunyai undang-undang sama dengan Malaysia.

Ahmad Zahid berkata bagi membolehkan seseorang banduan layak dipindahkan ke negara asalnya, dia mestilah bukan banduan yang dijatuhi hukuman mati dan kesnya tidak melibatkan rogol dan liwat.

Terdahulu, Ahmad Zahid bertemu Penasihat Keselamatan Negara India Ajit Doval dalam satu mesyuarat tertutup dengan perbincangan mereka ditumpukan kepada isu-isu keselamatan kedua-dua negara, termasuk program pemindahan banduan antarabangsa.

Timbalan perdana menteri berkata daripada 361 rakyat India terdiri daripada 342 lelaki dan 19 wanita yang ditahan di Malaysia sekarang, secara teknikalnya seramai 41 orang memenuhi syarat bagi program pemindahan banduan antarabangsa itu.

Seramai 221 orang daripada mereka disabitkan dengan kesalahan dadah berbahaya dan imigresen manakala 140 orang lagi masih dalam tahanan reman.

“Jabatan Penjara kami terus menjalankan program pemulihan untuk banduan mengikut setiap prosedur operasi standard yang ditetapkan,”katanya sambil memberitahu bahawa pada masa ini, terdapat 55,000 banduan termasuk 16,170 warga asing di Malaysia.

Mengenai usaha memerangi penyalahgunaan dadah, Ahmad Zahid berkata beliau telah berbincang dengan Ajit mengenai kemungkinan mengadakan kerjasama berhubung perkara itu walaupun tiada perjanjian rasmi mengenainya di antara kedua-dua pihak.

Ditanya tentang usaha Malaysia membendung radikalisme, beliau berkata program Strategi Lautan Biru Kebangsaan yang dilaksanakan Jabatan Penjara Malaysia telah mencatat kejayaan, dengan beberapa negara turut menunjukkan minat untuk belajar daripada Malaysia.

Menerusi program itu, katanya sebanyak 97 peratus daripada banduan dapat dipulihkan dan tidak kembali kepada aktiviti ekstrem.

“Program ini menjadikan Malaysia sebagai contoh negara yang paling berjaya dalam program deradikalisasi sejak ia diperkenalkan pada Januari lepas,” katanya.

Ahmad Zahid tiba di sini pada Ahad bagi mengadakan lawatan kerja untuk meningkatkan hubungan dua hala di antara Malaysia dan India.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *