BEIJING, Malaysia sudah menghantar pulang 29 warga China kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pengganas, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, suspek pengganas itu diberkas oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman sebelum diserahkan kepada polis China.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri bagaimanapun tidak mendedahkan bila penahanan berkenaan dilakukan.

“Polis berjaya mengenal pasti suspek pengganas berkenaan hasil maklumat dan data pengenalan biometrik yang dibekalkan oleh pihak berkuasa di China,” katanya pada sidang media kepada wartawan Malaysia, di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Malaysia turut menghantar pulang 416 warga China kerana terbabit dengan sindiket penipuan dalam talian ‘Macau Scam’.

“Penghantaran balik ini dibuat dari tahun 2014 hingga Jun lalu,” katanya.

Beliau berkata, kegiatan sindiket Macau Scam itu telah menyebabkan mangsa di kedua-kedua negara mengalami kerugian lebih RM500 juta.

Beliau berkata, penjenayah ‘Macau Scam’ terbabit ketika ini sedang menjalani hukuman penjara di China.

Ahmad Zahid dalam rangka lawatan kerja ke China sejak Isnin lalu dan akan berlepas pulang ke tanah air hari ini.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *