Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani buat julung kalinya akan menganjurkan pameran makanan antarabangsa ‘Malaysia Food Festival 2017’ pada 28 Sept hingga 1 Oktober ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, sejumlah 850 pempamer dari dalam dan luar negara telah menyatakan kehadiran dalam pameran makanan terbesar itu.

“Festival ini merupakan satu ekspo hidangan dari seluruh negara dengan mengetengahkan kepelbagaian produk makanan dan sebagai menghargai usaha seluruh komuniti di sebalik industri makanan di Malaysia.

Melalui festival ini, orang ramai akan dapat mendalami situasi pengeluaran, penghasilan dan persembahan makanan di Malaysia,” katanya selepas merasmikan pavillion kementerian itu di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS), di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Menurutnya pameran di festival makanan itu akan mengetengahkan elemen penghasilan makanan yang sihat dan selamat, penyediaan makanan melalui demonstrasi masakan oleh chef terkemuka, teknologi pembungkusan serta pengalaman agropelancongan.

Antara pengisian program festival yang diadakan sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebagsaan itu ialah pameran agroteknologi, jualan, seminar, bengkel dan konsert ‘Rhythm of the Farmers’.

Ditanya mengenai penemuan sejumlah kepak ayam sejuk beku yang ditanam pihak berkuasa di Bukit Aup, Sibu, Sarawak, Ahmad Shabery berkata beliau telah berhubung dengan Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar Sarawak Datuk Seri Douglas Uggah Embas untuk mendapat maklumat lanjut.

“Saya baru berhubung dengan Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar Sarawak dan akan dapatkan maklumat lebih banyak daripada pihak sana dan selepas ini baru kita akan siasat perkara ini,” katanya.

Baru-baru ini media melaporkan beberapa penduduk Bukit Aup datang ke kawasan pembuangan itu dan menggali tapak di mana beberapa kontena kepak ayam sejuk beku dilupuskan dan ditanam oleh pihak berkuasa Jumaat lepas.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *